Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Boss GISB, keluarga dicekup polis (video)



KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin kanan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings (GISBH) dan isterinya antara ditahan polis dalam Op Global susulan laporan rumah amal kendalian syarikat itu didakwa melakukan penderaan, pengabaian serta salah laku seksual.

Penahanan itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan maklumat lanjut akan diumumkan nanti.


Polis dijangka mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek hari ini.

Sementara itu menurut laporan Harian Metro yang memetik sumber, difahamkan setakat ini seramai 19 orang termasuk pemimpin jemaah itu ditahan dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di beberapa lokasi.

"Selain CEO terbabit, turut ditahan isterinya serta dua anaknya bagi membantu siasatan.

"Turut difahamkan, individu lain yang ditahan adalah anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad," katanya.

Sumber berkata, mereka yang ditahan itu membabitkan 12 lelaki dan tujuh wanita berusia 30 hingga 65 tahun.

Terdahulu BH melaporkan polis mengesahkan lima suspek yang ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah dalam perjalanan ke Thailand dengan menggunakan kenderaan rekreasi (motorhome) berlogo GISBH direman tujuh hari, bermula hari ini.

Perintah reman terhadap semua mereka berusia 30 sehingga 41 tahun itu dilakukan sebaik permohonan dibuat polis di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor hari ini.

Razarudin berkata, mereka direman bagi melengkapkan siasatan yang sedang dilakukan polis terhadap syarikat berkenaan.

"Reman bermula hari ini sehingga Rabu ini (25 September)," katanya.

Sebelum ini polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada 10 September lalu.

Razarudin sebelum ini memaklumkan ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISBH dalam Op Global itu mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh, termasuk dipaksa bekerja menjual barang.

PDRM juga sudah membekukan 96 akaun milik syarikat terbabit bernilai lebih setengah juta ringgit.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Selasa lalu menitahkan PDRM supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal GISBH.

video:


­