Seorang pegawai Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dilaporkan menafikan dakwaan dia mahupun kakitangan lain syarikat itu mengajar kanak-kanak untuk meliwat.
Ketua Pegawai Penyelaras GISBH Adib Attamimi berkata tidak mungkin untuk dia mengarahkan kanak-kanak di rumah jagaan syarikat itu berkenaan perkara itu.
“Takkanlah saya sendiri nak menggalakkan, meminta, menyusun atau mengarahkan semua remaja atau kanak-kanak mengamalkan kehidupan yang rosak begini.
“Saya sendiri ada lima anak. Takkan saya nak anak saya macam itu?” katanya menerusi video yang dimuat naik di media sosial.
Sebaliknya, dia mendakwa ada kemungkinan kanak-kanak itu belajar sendiri berkenaan liwat.
“Maaf nak cakap, bab liwat ini (berlaku) seluruh dunia, suasana dunia dah banyak berlaku. Malah di Malaysia sendiri, di negara kita pun benda ni dah berleluasa.
“Bukan mudah nak dibendung. Ia datang daripada macam-macam sumber, seperti telefon, melihat kawan-kawan, sekolah, balik kampung, jumpa orang tepi jalan. Macam-macam sumber,” katanya lagi.
Adib berkata kanak-kanak dan remaja memiliki keinginan untuk mencuba dan ia bukan mudah untuk dibendung.
“Tidak ada galakan, tidak ada arahan (daripada pihak GISBH) untuk meliwat,” katanya lagi.
Adib juga menyuarakan kekecewaan terhadap apa yang didakwanya sebagai kempen untuk menggambarkan pusat kebajikan yang berkaitan dengan GISBH sebagai tempat liwat dan kegiatan tak bermoral.
Kenyataannya itu dilihat bertentangan dengan dakwaan GISBH yang ia tidak mengendalikan rumah kebajikan yang terlibat.
Pada 11 September lalu, polis menyerbu 20 pusat kebajikan yang dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan, selepas menerima laporan berhubung pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak.
Pada mulanya, dilaporkan seramai 402 kanak-kanak telah diselamatkan, namun polis kemudian mengubah jumlah itu kepada 392 orang.
Menurut Ketua Polis Negara Razarudin Husain, seramai 13 kanak-kanak - kesemuanya berusia belasan tahun - dipercayai menjadi mangsa liwat, selepas 172 daripada 392 mangsa eksploitasi berkenaan melalui saringan kesihatan.