Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Parti Progresif Rakyat rayu sertai semula BN



KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ‘positif’ dan terbuka dengan permohonan rayuan Parti Progresif Rakyat myPPP yang hendak kembali sebagai komponen BN.

Bagaimanapun kata Presiden UMNO itu, kedudukan myPPP dalam BN hanya akan diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN kelak.


“Saya faham keadaan parti ini yang telah begitu lama arena politik negara, sejak 1957 lagi. myPPP mohon masuk balik sebagai parti teras. Dulu mereka adalah parti komponen BN. Rayuan untuk masuk kembali akan di bincangkan dalam Dewan Tertinggi BN.

“Sebelum ini, pemimpin ketika itu telah umum parti ini keluar daripada komponen BN. Jadi keputusan itulah yang dibuat oleh Dewan Tertinggi BN sebab dulu ada 13 parti, akhirnya tinggal empat parti sahaja kerana sembilan lagi parti lain keluar.

“Ketika itulah peristiwa pengumuman keluar komponen BN telah dibuat oleh mantan Presiden myPP. Tetapi rayuan ini tertakluk kepada perbincangan Dewan Tertinggi BN. Ini adalah keputusan sebulat suara menggunakan Perlembagaan BN. Perlu konsensus semua,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan myPPP 2024 di World Trade Centre (WTC) yang turut dihadiri oleh pemangku Presiden myPPP, Datuk M Loga Bala.

Menurut Ahmad Zahid, beliau yakin dan positif dengan rakan-rakan komponen yang lain dalam membuat keputusan rayuan myPPP ini.

“Saya janji bawa perkara ini ke Dewan Tertinggi BN mengikut kenyataan oleh pemangku Presiden bahawa myPPP tidak pernah tinggalkan BN.

“Saya juga harap pimpinan Dewan Tertinggi ini memahami situasi yang dihadapi parti yang sudah bersama BN sejak 1971 lagi,” ujarnya sambil mendapat tepukan gemuruh lebih 1,000 perwakilan. 

Sebelum ini, pendaftaran myPPP pernah dibatalkan pada 2018 ekoran wujud dua kumpulan dengan masing-masing mendakwa sebagai pemimpin parti itu yang sah yang mana satu kem diketuai Tan Sri M Kayveas.

Manakala satu lagi kem dipimpin mendiang Datuk Maglin Dennis D’Cruz.

Kayveas pernah memimpin parti itu lebih dua dekad dan pada 2018 iaitu beberapa hari menjelang PRU, beliau meletak jawatan secara mengejut namun menarik balik perletakan jawatan itu beberapa hari kemudian.

Akibat tindakan Kayveas, MyPPP berpecah kepada dua kumpulan dan puak menyokong Kayveas berkeras untuk meninggalkan BN manakala kumpulan Maglin mahu terus bersama BN.

Baru-baru ini mahkamah telah memberikan kemenangan kepada kumpulan Maglin berhubung pertikaian dua puak ini.- MalaysiaGazette