Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Raja Petra meninggal dunia


Penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin meninggal dunia di Manchester, UK pada usia 73 tahun.

Raja Petra meninggal dunia pada 11.26 malam waktu UK pada hari Isnin 9 Sept.

Perkara itu disahkan oleh abangnya, Raja Idris kepada portal berita FMT.


Raja Petra, yang lebih dikenali sebagai RPK, dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 2001 dan 2008.

Raja Petra pernah menjadi sekutu Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Parti Keadillan Nasional, sebelum mengubah pendiriannya berikutan penahanan kali kedua.

Dilahirkan pada 27 Sept 1950 di Surrey, England, dia mengendalikan laman web Malaysia Today, yang menerbitkan pandangannya yang kadangkala kontroversial mengenai politik Malaysia.

Penahanan pertama Raja Petra ialah pada 11 April 2001, apabila dia dan sepuluh aktivis pembangkang lain ditahan di bawah ISA kerana didakwa merancang untuk menggulingkan perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad. Dia dibebaskan 52 hari kemudian.

Penahanan kedua pada 12 Sept 2008, dan dia dibebaskan daripada tahanan dua bulan kemudian pada 7 Nov 2008.

Selepas dibebaskan daripada tahanan kedua, dia berpindah ke UK.

Merupakan bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Victoria Institution, allahyarham adalah ahli keluarga diraja Selangor melalui nenek sebelah bapanya Tengku Badariah yang merupakan adik kepada Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah.