Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Rayuan Muhyiddin ditolak, lima hakim perintah kes rasuah RM232.5 juta dibicarakan


PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyemak keputusan mengembalikan empat tuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta dihadapinya.

Keputusan dibuat panel lima hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi dan turut disertai Datuk Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.


Ini bermakna Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden BERSATU itu akan dibicarakan bagi pertuduhan salah guna kuasa berkait program pemerkasaan kontraktor Bumiputera, Jana Wibawa itu di Mahkamah Sesyen, di sini.

Azizah berkata, panel lain Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membuat keputusan mengembalikan tuduhan terhadap Muhyiddin, 77, mempunyai bidang kuasa seperti dikehendaki mengikut Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

"Sehubungan itu, permohonan bagi semakan diketepikan," katanya.

Terdahulu pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan bekas Perdana Menteri itu daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi parti diterajuinya, BERSATU.

Keputusan dibuat Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin selepas membenarkan permohonan Muhyiddin membatalkan semua tuduhan atas hujah ia tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dan pada 28 Februari lalu, mahkamah berkenaan membenarkan permohonan dan mengarahkan kes dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, pada 27 Mac lalu, Muhyiddin mengemukakan permohonan semakan semula keputusan itu atas alasan ia tidak sah kerana dibuat tanpa bidang kuasa diperlukan mengikut Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Pengerusi PN merangkap Presiden BERSATU itu kali pertama didakwa di Mahkamah Sesyen pada 10 Mac 2023 atas tuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan RM232.5 juta bagi pihak parti.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 ketika menjadi Perdana Menteri kelapan.

Selain itu, Ahli Parlimen Pagoh berkenaan masih berdepan tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang semuanya berjumlah RM200 juta.

Sementara itu, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin pada sidang media kemudian, memaklumkan pihaknya akan meneliti dan mengkaji peruntukan undang-undang berkaitan perkara berkenaan.

"Walaupun kecewa, kami menghormati keputusan mahkamah," katanya menambah pihaknya memerlukan masa untuk meneliti keputusan hari ini sebelum mengambil langkah langkah seterusnya.