Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Seramai 430,000 peminjam tak pernah bayar hutang PTPTN


LUMUT: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mengambil tindakan terhadap 430,000 peminjam yang tidak pernah membayar hutang membabitkan sebanyak RM6 bilion.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sikap tidak bertanggungjawab pihak terbabit mengakibatkan kedudukan kewangan PTPTN kini berada di tahap membimbangkan.


Katanya, sebahagian daripada peminjam itu didapati sudah bergraduasi sejak berpuluh tahun lalu dengan ada diantaranya gagal membuat pembayaran walau satu sen pun.

"Ini kategori yang tak peduli sejak hari pertama dia keluar (dari universiti), dia tak maklumkan keadaan dia, di mana dia bekerja, bagaimana dia nak (buat pembayaran semula), sepatutnya perlu bincang. Mereka tak peduli langsung untuk bayar.

"Kita sudah pun membuat perbincangan secara mendalam di peringkat kabinet untuk langkah seterusnya.

"Saya tidak menafikan langkah susulan yang akan diambil terhadap mereka ini termasuk tindakan undang-undang," katanya selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN kepada 215 mahasiswa parlimen Lumut dan Beruas di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.

Zambry berkata perincian tentang tempoh kes dan bentuk tindakan yang akan diambil peminjam yang culas itu akan diumumkan oleh Norliza dalam masa terdekat.

"Namun, saya ingin tegaskan sekali lagi kita tetap berhemah. Kita faham keadaan (ekonomi), tetapi saya nak supaya mereka ini datanglah (ke PTPTN) ceritakan keadaan mereka.

"Mereka juga perlulah mempunyai tanggungjawab moral kerana wang itu apabila mereka bayar balik, kita akan gunakan untuk membantu generasi yang akan datang pula," katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata seramai 26,534 pelajar ditawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 seorang bagi kemasukan peringkat ijazah sarjana muda ke institusi pendidikan tinggi Awam sesi Oktober tahun ini.

Beliau turut memberi jaminan kementeriannya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi mengesan penyebaran ajaran berkaitan GISB Holdings (GISBH) dalam kalangan pelajar dan pensyarah di IPT.