Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Siasatan SPRM berat sebelah, Najib dinafi hak perbicaraan adil


KUALA LUMPUR: Peguam bela Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bekas Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan itu dinafikan hak untuk mendapatkan perbicaraan adil dalam kes penyelewengan dana milik syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.

Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mengemukakan hujahan di akhir kes pendakwaan berkata ini kerana siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat secara tergesa-gesa dan kelam kabut serta bersifat berat sebelah.


Menurutnya, siasatan oleh Pegawai Penyiasat SPRM, Penguasa Kanan Asisten Superintendan Nur Aida Arifin yang juga saksi pendakwaan ke-49,adalah bersifat selektif dan tidak lengkap.

Disebabkan oleh siasatan yang tergesa-gesa itu, Wan Azwan Aiman menegaskan bekas Ahli Parlimen Pekan yang juga bekas Presiden UMNO itu tidak mendapat perbicaraan yang adil seperti termaktub dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, begitu juga terdapt banyak aspek dalam pembelaan tertuduh yang tidak disiasat dengan teliti dan sepenuhnya oleh pegawai siasatan sehingga menyebabkan kelompongan dalam kes pendakwaan.

Menurut peguam itu, salah satu pembelaan Najib ialah wang diterima dalam akaunnya adalah derma daripada Arab Saudi, namun ia tidak pernah disiasat Nur Aida bagi menjadikan siasatan SPRM lengkap.

"Siasatan yang teruk dan tergesa-gesa itu menafikan Datuk Seri Najib daripada haknya yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan bagi mendapatkan siasatan dan perbicaraan yang adil.

"Siasatan pegawai penyiasat (Nur Aida) juga adalah berat sebelah kerana mereka sudah memutuskan terlebih dahulu untuk mendakwa Datuk Seri Najib ke mahkamah tanpa mengambil kira apakah hasil siasatan kes.

"Apabila kertas siasatan dibawa kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), kenyataan Datuk Seri Najib di bawah Seksyen 53 (3) Akta SPRM tidak menjadi sebahagian daripada pertimbangan bagi pertuduhan dikenakan terhadapnya. Penjelasan beliau juga tidakdipertimbangkan oleh AGC," katanya.

Wan Azwan Aiman berkata kertas siasatan oleh pegawai penyiasat SPRM dan cadangan pertuduhan diserahkan kepada AGC pada 28 Ogos 2018 manakala izin mendakwa dikeluarkan oleh AGC untuk mendakwa Najib pada 19 September 2018.

Peguam itu berkata kedua-dua peristiwa itu berlaku sebelum kenyataan Najib kepada SPRM selesai iaitu pada jam 8.10 pagi, 20 September 2018.

Katanya, pada 20 September 2018, Najib dibawa ke mahkamah untuk didakwa.

"Apabila disoal balas ketika perbicaraan, Nur Aida mengesahkan syak wasangka kami bahawa Datuk Seri Najib didakwa di mahkamah pada hari yang sama, iaitu sejurus selepas mereka selesai merekodkan kenyataan itu.

"Saksi juga mengesahkan bahawa keizinan untuk mendakwa dikeluarkan sehari sebelum mereka selesai merakam kenyataan Datuk Seri Najib.

"Ini menunjukkan bahawa rakaman kenyataan berkenaan sebagai tidak lebih daripada formaliti dan kerja pentadbiran semata-mata.

"Ia juga menunjukkan terdapat `kepincangan' dalam kenyataan yang direkodkan di mana siasatan adalah berat sebelah kerana Datuk Seri Najib tidak dimaklumkan kemungkinan pertuduhan yang mungkin dihadapinya," katanya.

Wan Azwan Aiman berkata Seksyen 53(3) Akta SPRM mengkehendaki supaya notis diberikan kepada individu mengenai pertuduhan yang akan didakwa terhadap mereka.

Katanya, notis mengenai kemungkinan pertuduhan sedemikian adalah perlu untuk membolehkan seseorang tertuduh mempunyai peluang yang adil untuk menjawab dakwaan terhadapnya dan untuk mengelakkan pembelaannya daripada dilabel sebagai sesuatu yang difikirkan kemudian.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.