Menteri Luar Mohamad Hasan berseloroh dengan mengatakan Malaysia mungkin menghulurkan jemputan "balik kampung" kepada calon presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris, jika dia menang dalam pemilihan minggu depan.
Ini selepas orang kuat Donald Trump, Tucker Carlson mencerca Harris sebagai berketurunan "orang Samoa-Malaysia yang rendah IQ" dalam satu perhimpunan politik.
Kenyataan Carlson itu telah membuatkan beliau dianggap sebagai seorang ahli politik yang kurang cerdik dan buta geografi.
"Terima kasih kerana membangkitkan perkara ini kepada perhatian kami, Encik Carlson. Kami tidak menyedari bahawa seorang rakyat Malaysia bertanding jawatan presiden Amerika Syarikat." sindir Mohamad.
"Sekiranya Puan Kamala memenangi persaingan, kami berbesar hati menjemputnya balik kampung dan menjamunya nasi goreng USA," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
USA yang dirujuk dalam nasi goreng itu adalah singkatan kepada udang, sotong dan ayam yang lazimnya merupakan campuran lauk bagi hidangan nasi goreng dan tidak mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat sebagai sebuah negara.
Harris berketurunan India dan berkulit hitam.
Amerika Syarikat akan memilih presidennya pada 5 Nov depan.
Tinjauan semasa menunjukkan cabaran sengit antara Harris dan Trump dalam pemilihan itu.
video: