SEOUL: Kira-kira 10,900 tentera Korea Utara dikerahkan ke Kursk, Russia sebagai sebahagian daripada unit udara dan marin negara itu dengan sebahagiannya sudah menyertai pertempuran dalam perang Ukraine.
Perkara itu didedahkan Ahli Jawatankuasa Perisikan Parlimen, Lee Seong-kweun, kepada pemberita, dengan memetik sumber daripada Perkhidmatan Perisikan Negara Korea Selatan (NIS).
Beliau berkata, Korea Utara juga menghantar senjata tambahan untuk perang di Ukraine termasuk howitzer yang berkeupayaan tembak secara automatik dan pelbagai pelancar roket.
Memetik sumber daripada NIS, pertemuan Menteri Luar Korea Utara, Choe Son-hui dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, semasa lawatannya ke Moscow bulan ini adalah luar biasa dari segi protokol dan berkemungkinan melangkaui pertukaran maklumat biasa dan meliputi isu lebih penting.
Ia termasuk kemungkinan lawatan ke Russia oleh pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un serta seorang lagi Ahli Jawatankuasa Perisikan Parlimen, Park Sun-won.
Menurut Seong-kweun, agensi perisikannya masih berusaha menentukan bilangan sebenar tentera Korea Utara yang terkorban dan jika ada yang menyerah diri, bardasarkan pelbagai maklumat yang bercanggah.
Mengenai kenyataan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, bahawa bilangan tentera Korea Utara yang ditempatkan di dalam Russia boleh meningkat kepada 100,000, Seong-kweun memetik NIS sebagai berkata perkara itu tidak disahkan.
Namun, tambah beliau, jika pertempuran semasa berpanjangan dan kematian berlaku, wujud kemungkinan Korea Utara akan mengerahkan lebih ramai tentera ke Russia. - REUTERS
video: