Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Akta Tahanan Rumah hanya terpakai kepada rahanan reman -Saifuddin


KUALA LUMPUR: Akta Tahanan Rumah jika diluluskan hanya terpakai kepada individu yang dikenakan perintah tahanan reman sementara menunggu perbicaraan mahkamah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata bagaimanapun tahanan rumah tidak layak diberikan kepada individu yang ditahan reman kerana melakukan kesalahan termasuk jenayah serious yang memperuntukkan hukuman mati dan penjara seumur hidup.


Selain itu, katanya tahanan reman yang didakwa di bawah kesalahan serius yang membawa pemenjaraan 10 tahun ke atas, keganasan rumah tangga dan kanak-kanak, sebatan mandatori, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Bab 6 Kanun Keseksaan juga tidak layak untuk ditahan di rumah.

Beliau berkata setakat semalam, terdapat 87,229 prospek termasuk 28,000 individu yang ditahan reman di penjara seluruh negara walaupun penjara hanya mampu memuatkan 74,000 orang.

Menurutnya, punca kesesakan penjara antaranya disumbangkan oleh individu yang menjalani tahanan reman dan belum disabitkan kesalahan.

"Hasrat kami adalah memberi kuasa kepada mahkamah untuk mempertimbangkan dan memerintahkan yang ditahan reman ditahan di rumah dan dipakaikan peranti hingga tarikh perbicaraan.

"Kelebihan daripada akta baharu ini penjara akan jadi lebih kondusif kerana tidak terlalu padat," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat kementerian di Dewan Rakyat hari ini.

Tahanan atau banduan reman merujuk kepada individu yang ditahan di penjara kerana tidak mampu membayar ikat jamin sementara menunggu perbicaraan.

Saifuddin berkata, akta baharu ini tidak terpakai kepada pesalah yang disabitkan kesalahan melainkan jika ada gesaan daripada ahli Dewan ketika ia dibentangkan nanti.

"Buat masa sekarang adalah untuk kategori mahkamah bagi perintah tahanan reman sementara menunggu bicara," katanya.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkaitan.

Katanya, dari segi dasar KDN sudah mendapat kelulusan Jemaah Menteri untuk penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Tahanan Rumah.

"KDN akan bincang dengan Peguam Negara untuk bangunkan kerangka apakah maksud Akta Tahanan Rumah... dari situ, KDN akan adakan libat urus dengan Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang berkaitan," katanya.