KOTA TINGGI: BERSATU Bahagian Tenggara terbubar apabila ketuanya bersama ahli jawatan kuasa mengumumkan keluar parti hari ini.
Bekas Ketua BERSATU Bahagian Tenggara, Hassan Rasid, berkata keputusan keluar parti itu diambil selepas melalui proses pertimbangan yang mendalam dan merujuk kepada beberapa isu yang dianggap kritikal.
Beliau berkata, mereka berasakan tidak lagi yakin dengan kepemimpinan tertinggi parti yang dilihat gagal menguruskan parti, lemah, tidak amanah, tiada integriti serta gagal melaksanakan tanggungjawab.
"Tiga cawangan Srikandi yang layak bersidang iaitu Cawangan Bandar Tenggara Selatan, Pengeli Timur dan Pelepah Valley juga tidak tersenarai dalam perwakilan pemilihan Srikandi Bahagian Tenggara pada 26 Oktober lalu, sebaliknya Jawatankuasa Srikandi Bahagian Tenggara telah digantung daripada bersidang.
"Kelmarin, pada jam 6.30 petang, kami menerima mesej melalui WhatsApp mengenai pembatalan tiga cawangan di Tenggara bagi hari pemilihan yang akan berlangsung hari ini.
"Cawangan-cawangan yang terbabit adalah Kota Jaya Selatan, Bandar Tenggara Selatan serta Sungai Telor dan kami hanya menerima surat rasmi pada semalam dari pihak pengurusan," katanya pada sidang media di Dewan Sri Teratai Kampung Batu 4 di sini, hari ini.
Hassan berkata, situasi itu menunjukkan pimpinan tertinggi tidak mengambil langkah yang cermat, tidak teliti serta gagal memahami keputusan yang diambil.
Menurut beliau, keputusan sebulat suara itu diambil selepas mempertimbangkan maruah serta kepentingan hak ahli, serta ketidaktelusan pihak pengurusan dalam menangani isu berkenaan.
Sementara itu, katanya, lima laporan polis dibuat termasuk yang dibuat olehnya, BERSATU Cawangan Bandar Tenggara, BERSATU Cawangan Tenggara Selatan, BERSATU Cawangan Pelepah Valley dan BERSATU Cawangan Pengeli Timur terhadap isu pengurusan parti itu.
Katanya, kira-kira 500 ahli dari cawangan-cawangan berkenaan juga dijangka mengikuti jejak langkah mereka keluar daripada parti itu.
Beliau memaklumkan, bahagian itu mempunyai 19 cawangan dengan jumlah ahli keseluruhan adalah seramai 1,263 ahli.
"Dengan keputusan ini, BERSATU Bahagian Tenggara terbubar. Kami sepatutnya bersidang malam ini, semua persiapan sudah siap dibuat termasuk tempahan makanan dan dewan.
"Buat masa ini, kami akan berehat dahulu dan terus aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) untuk kebajikan rakyat. Kita juga tidak ada rancangan untuk masuk mana-mana parti," jelasnya.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepemimpinan beliau sepanjang tempoh mereka sebagai ahli parti itu.