Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kakitangan Kesihatan alami 'kelelahan berganda' dibawah sistem shif SSPA


Kebajikan Kakitangan Perubatan Dan Kesihatan Kerajaan Yang Bekerja Shif Diabaikan Bawah SSPA — Dr A.H.H.

Seorang doktor pakar berkata sistem shif di bawah SSPA tidak memikirkan kebajikan pegawai kerana tempoh jam bekerja selepas 5pm dikira sama seperti shif pagi.

 Sepatutnya, polisi kiraan jam setara yang mengambil kira “circadian rhythm” patut dilaksanakan.


Di dalam perkhidmatan awam, ada penjawat awam yang bekerja secara giliran dan kini dikenali sebagai shif, terutamanya di dalam Skim Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan yang menabur bakti hospital-hospital. 

Mereka ini adalah wira-wira yang tidak didendang seperti Pegawai Perubatan di jabatan kecemasan dan Jabatan Bius, Jururawat, Penolong Pegawai Perubatan, Pembantu Farmasi, Pembantu Makmal Perubatan, Juru X Ray, dan juga Pembantu Perawatan Kesihatan di jabatan kecemasan dan wad-wad yang beroperasi 24 jam.

Penjawat-penjawat awam ini bekerja secara 3 shif iaitu shif pagi, shif petang, dan shif malam. 

Jadual kerja terdahulu adalah shif pagi pada jam 7 hingga 2 petang; 

shif petang bermula 2 petang hingga 9 malam; dan 

shif malam 9 malam hingga 7 pagi keesokan harinya. 

Secara keseluruhan, mereka akan bekerja 42 jam dalam seminggu.

Sistem Saraan Perkhidmatan Awam

Pekeliling Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menetapkan untuk setiap shif adalah 8 jam, iaitu:

Shif pagi: 7 pagi hingga 3 petang.

Shif petang: 2 petang hingga 10 malam.

Shif malam (1): 9 malam hingga 7 pagi, dan

Shif malam (2): 9 malam hingga 7.30 pagi.

Ini bertujuan untuk mencukupkan waktu bekerja kepada 45 jam seperti mana penjawat awam yang bekerja 8 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja biasa.

Kedua-dua sistem shif yang lama dan yang baru adalah digubal oleh pegawai yang tidak bekerja secara shif. Mereka yang membuat polisi dan dasar ini tidak pernah bersengkang mata di wad-wad untuk merawat pesakit. Polisi yang dibuat langsung tidak memikirkan kebajikan kepada pegawai yang bekerja secara shif. 

Objektif Menyamakan Jumlah Jam Berkerja 

Objektif yang ingin dicapai oleh pembuat dasar hanya untuk memastikan kakitangan yang bekerja shif mempunyai jam kerja yang cukup seperti penjawat awam yang bekerja waktu pejabat, iaitu 45 jam seminggu. 

Pegawai yang bekerja di waktu pejabat sememangnya bekerja di dalam Ritma Sirkadian atau “Circadian Rhythm” yang normal untuk manusia biasa – bekerja pada siang hari dari 8 hingga 5 petang, dan berehat hinggalah pada 7 pagi keesokan harinya. 

Pekerja yang berkerja pada hari berkerja juga mendapat rehat pada hari Jumaat/Sabtu dan Ahad. Ini adalah kehidupan normal harian dan mingguan untuk seorang pekerja.

Bertugas Di Luar Ritma Sirkadian (Circadian Rhythm)

Penjawat awam yang berkerja shif berkerja di dalam ruang lingkup diluar masa berkerja yang normal. Shif petang dan shif malam adalah diluar ritma sirkadian seorang manusia normal.

Ambil contoh doktor, jururawat, Penolong Pegawai Perubatan, atau Pembantu Perubatan Kesihatan yang bekerja shif malam. 

Mereka bekerja di saat pekerja waktu bekerja biasa tidur. Setiap jam pada malam hari itu memang tujuannya untuk berehat bagi manusia biasa. Oleh itu, tidak wajar 1 jam pada waktu berkerja shif ini disamakan dengan 1 jam waktu bekerja biasa. 

Beban kerja merawat pesakit-pesakit sebilang waktu tanpa rehat terutama di shif petang dan malam memberikan kelelahan berganda kepada petugas.

Cadangan Kiraan Jam Yang Setara Mengambil Kira Ritma Sirkadian

Pihak pengggubal dasar perlu untuk membuat satu polisi KIRAAN JAM SETARA untuk menjaga Kebajikan penjawat awam yang bekerja shif ini. Setiap 1 jam selepas jam 5 petang itu wajar dikira lebih dari 1 jam sebenar contohnya setara 1 jam 20 minit. 

Ini kerana waktu bekerja itu bukan pada waktu bekerja biasa, waima waktu bekerja tersebut  bukanlah waktu biasa untuk seorang manusia bekerja. 

Dengan cara tersebut, setiap penjawat awam yang bekerja shif akan mempunyai jumlah jam kerja yang sama dengan penjawat awam yang bekerja pada waktu bekerja biasa. Menggunakan kiraan ini, setiap shif petang walaupun mereka hanya bekerja 7 jam tetapi ianya bersamaan 9 jam bekerja biasa. 

Begitu juga untuk shif malam, 10 jam bekerja pada shif malam bersamaan 13 jam waktu berkerja.

Mengambil kira jumlah hari bekerja 5 hari seminggu setiap penjawat awam yang bekerja shif akan mempunyai jumlah setara 45 jam waktu bekerja yang termasuk 5 jam rehat tengahari (1 jam sehari x 5 hari). 

Jika ditolak waktu rehat kakitangan yang bekerja pada waktu keberja biasa, jumlah jam bekerja hanya 38 jam sahaja – sedangkan pekerja yang berkerja secara shif tiada waktu rehat.

Kebajikan Perlu Diutamakan

Pihak-pihak persatuan yang mewakili Pengamal Perubatan, Jururawat, Penolong Pegawai Perubatan, dan Pembantu Perawatan Kesihatan yang berkerja secara shif perlu memberikan pandangan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JPA tentang isu ini. 

Hal ini adalah sangat penting demi menjaga kebajikan mereka yang bekerja secara shif. Penambahbaikan dari segi kiraan setara jam bekerja untuk shif petang dan malam perlu mengambil kira waktu tersebut bukan waktu manusia biasa bekerja. 

Sebagai contoh, bayaran setiap jam bekerja lebih masa pada waktu cuti juga dikira berlainan dan nilainya lebih tinggi. Selain itu, jika sistem shif yang baru dilaksanakan, kakitangan yang bekerja shif petang akan pulang lewat jam 10 malam. 

Ini juga pastinya akan menimbulkan masalah kepada kakitangan tersebut.

Penutup

Apa yang berlaku hari ini – pegawai-pegawai pengawal ingin menonjolkan diri dengan tergesa-gesa untuk melaksanakan arahan seperti mana di dalam pekeliling tanpa mengutarakan pandangan dan cadangan balas demi menjaga kebajikan staf masing-masing. 

Adalah diharapkan pihak KKM dan JPA melihat dan menilai hal ini untuk kebaikan semua. Selain itu, kiraan konsep jam setara ini juga boleh dipanjangkan kepada semua kakitangan kerajaan yang berkerja secara shif untuk memastikan kebajikan semua terjamin dan mewujudkan suasana kerja dan tempoh masa berkerja lebih kondusif dan menjayakan gagasan Madani untuk semua.

Penulis ialah seorang doktor pakar yang bekerja di sebuah hospital kerajaan di Lembah Kelang. CodeBlue memberi kerahsiaan kepada penulis oleh sebab penjawat awam tidak dibenarkan menulis kepada pihak media. 

Sumber: CodeBlue