KUALA LUMPUR: Kos guaman kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mencecah RM300 juta merupakan sebagai sesuatu yang melampau dan tidak masuk akal.
Ketua Penerangan PUTRA, Shahrulufti Sharif menyifatkan angka besar tersebut sebagai terdapat pihak yang mengambil kesempatan dengan kes tersebut.
“Oleh sebab itu kami memberi sokongan penuh terhadap desakan peguam Haniff Khatri agar pihak berkenaan khususnya Kementerian Kewangan mendedahkan butiran terperinci.
“(Iaitu) mengenai kos guaman 1MDB yang telah melebihi RM300 juta sejak tahun 2019 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Menurut beliau, tidak dinafikan bahawa urusan khidmat guaman perlu dibayar, tetapi tidak seharusnya dijadikan sebagai kesempatan untuk mengambil keuntungan secara melampau.
“Ini yang menimbulkan satu persoalan, iaitu apakah sikap pihak guaman yang dilantik menuntut hutang sama dengan pengurusan 1MDB juga? Kami mahu tahu syarikat guaman mana yang dilantik dan jumlah yang dibayar mengikut kes-kes tuntutan.
“Sebagai entiti milik rakyat, adalah menjadi hak setiap warganegara Malaysia untuk mengetahui bagaimana dana awam digunakan. Ketelusan dalam pengurusan kewangan adalah asas kepada kepercayaan rakyat terhadap institusi negara,” ujarnya.
Sehubungan itu, Shahrulufti turut menegaskan bahawa adalah wajar untuk nama syarikat guaman yang menguruskan kes 1MDB ini didedahkan kepada umum dengan segera.
Kata beliau lagi, ini bertujuan supaya bukan sahaja memastikan pihak tersebut mengambil akauntabiliti, tetapi juga memulihkan keyakinan rakyat terhadap pengurusan kewangan negara ini.
“Kami yakin langkah sebegini akan dapat memastikan bahawa dana awam benar-benar digunakan dengan berhemah dan bertanggungjawab,” katanya.
BACA: Kenapa kos guaman 1MDB sejak 2019 kini melebihi RM300 juta? Peguam terkenal gesa Kerajaan jawab