Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Mana KB Sentral? Peruntukan RM37.4 juta dah lulus setahun


KOTA BHARU: Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Mohd. Syahbuddin Hashim mempersoalkan kenapa kerja-kerja pembinaan KB Sentral yang masih belum berjalan walaupun peruntukan terkumpul RM37.4 juta telah diluluskan bermula tahun tahun lalu sehingga kini.

Beliau berkata, penukaran tiga syarikat pelaksana daripada Widad kepada Perak Transit yang kemudiannya diarah supaya menyerahkan projek tersebut kepada syarikat China Communications Construction Company (CCCC) secara perundingan terus turut menimbulkan persoalan.


“Isu ini penting kerana KB Sentral sudah menjadi bahan polemik apabila sehingga kini rakyat terpaksa bergantung kepada stesen bas sementara. 

“Pada 2023 peruntukan sebanyak RM20 juta diberikan, kemudian RM10.4 juta pada tahun 2024 dan seterusnya RM7 juta pada belanjawan kali ini. Jadi kenapa belum siap?,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua DUN Kelantan Ke-15 Tahun 2024 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas itu memberitahu, beliau turut mahu kerajaan negeri memberi jawapan samaada kerja-kerja penyambung bangunan KB Sentral dengan Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mendapat kelulusan daripada Malaysia Rail Link Sdn. Bhd (MRL) untuk dilaksanakan.

“Penjelasan ini diperlukan kerana saya dimaklumkan syarikat Widad menarik diri sebelum ini adalah kerana projek itu tidak mendapat kelulusan daripada MRL untuk disambung dengan stesen ECRL,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Kerajaan Kelantan mempertahankan pemilihan syarikat bukan bumiputera sebagai kontraktor bagi menyiapkan pembinaan Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) di Mukim Pendek di sini.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, isu tersebut tidak berbangkit kerana kerajaan negeri sebelum ini telah sedaya upaya memberikan keutamaan kepada syarikat milik Muslim atau Bumiputera untuk menyiapkan projek ini.

Terdahulu, pada 12 Mac tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) bernilai RM64 juta yang dibina di Mukim Pendek di sini dijangka siap pada hujung 2026.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, projek di kawasan seluas 2.02 hektar yang dibangunkan sebagai Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) itu akan dimulakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, Syarikat Widad melalui syarikat bertujuan khas (SPV) iaitu Innovative City Holdings Sdn. Bhd. akan melaksanakan pembangunan dan operasi KB Sentral.-UTUSAN