Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

PAS cuba sabotaj pelaburan lebih RM3 billion di Pahang?


KENYATAAN MEDIA: PENJELASAN MENGENAI PERJANJIAN JUAL BELI TANAH ANTARA PASDEC DENGAN PETROLUXE REFINERY (M) SDN BHD

Saya mengambil maklum mengenai satu laporan berita yang memetik kenyataan Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, YB Dato’ Haji Andansura (Adun Beserah) Rabu pada 15 November 2024 yang cuba menimbulkan persepsi mengenai perjanjian jual beli tanah antara Pasdec Holdings Berhad (PASDEC) dengan Petroluxe Refinery (M) Sdn. Bhd. (Petroluxe) pada 13 November lalu. (kononnya kerajaan Pahang jual tanah (kepada syarikat dari China).

Untuk makluman, PASDEC adalah sebuah syarikat awam tersenarai di Bursa Malaysia yang mana aktiviti utamanya adalah sebagai syarikat pemegang pelaburan. 


Melalui anak-anak syarikatnya, PASDEC menjalankan aktiviti pembangunan hartanah, pengurusan projek dan pembinaan.

Sebagai pemaju hartanah, PASDEC membangunkan bank tanah (landbank) yang dimiliki sama ada secara sendiri, melalui usaha sama atau penjualan kepada pihak yang akan memajukan projek tertentu dan ianya merupakan urusniaga biasa (ordinary course of business) bagi PASDEC. 

YB Andansura yang terkenal dengan aktivi meminta sumbangan dari rakyat DUN Beserah


Merujuk kepada Perjanjian Jual Beli yang dimeterai pada 13 November 2024 antara PASDEC dan Petroluxe untuk tanah seluas 23.96 hektar (59.2 ekar) di Gebeng, Kuantan, saya ingin menjelaskan bahawa tanah tersebut adalah tanah pajakan 99 tahun (leasehold) untuk kegunaan industri. 

Petroluxe akan membangunkan sebuah kompleks bersepadu loji penapisan minyak dan petrokimia yang melibatkan pelaburan berjumlah kira-kira RM3 billion. 

Sebagai pelabur yang akan melaburkan sejumlah wang yang besar untuk mendirikan loji berkapasiti tinggi di atas tanah tersebut, Petroluxe semestinya memerlukan jaminan (security) bahawa pihaknya boleh menggunapakai tapak loji penapisan tersebut secara berterusan iaitu dengan membeli tanah tanpa perlu menyewa untuk jangkamasa yang terhad.

Menerusi perjanjian ini, PASDEC akan memperoleh sekitar 2 peratus ekuiti dalam syarikat usahasama ini dan adalah tidak munasabah sekiranya PASDEC mempermodalkan tanah tersebut.

Melalui hasil jualan tanah tersebut, PASDEC boleh mempercepatkan pembinaan projek-projek perumahan dan komersil yang sudah dalam perancangan yang mana akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Pahang memiliki kediaman selesa pada harga yang berpatutan.

Petroluxe adalah sebuah syarikat tempatan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pemegang saham majoritinya adakah Unigrand Petroluxe Sdn. Bhd. Oleh yang demikian, tidak wujud isu pemilikan oleh syarikat asing secara terus. 

Petroluxe sudah memperolehi kelulusan secara dasar daripada MITI dan MIDA untuk mendirikan sebuah loji penapisan.

Pelaburan ini bakal memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Pahang serta kesan ekonomi berganda (multiplier effects) dan kemampanan (sustainability) dengan mewujudkan peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan.

Limpahan peluang perniagaan serta percambahan ekonomi hiliran dalam sektor yang berkaitan dengan kejuruteraan dan ekosistem perkhidmatan sokongan juga akan menyumbang kepada peningkatan pendapatan, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan Negeri Pahang. 

Penjualan tanah kepada pelabur daripada negara luar untuk membangunkan industri bukan satu perkara yang baru, malah sudah bertahun lama dipraktikkan bukan sahaja di Negeri Pahang tetapi juga di negeri-negeri lain di Malaysia untuk tujuan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan pendapatan negeri.

Dalam pada itu, saya ingin menjelaskan bahawa keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hanyalah untuk menyaksikan sahaja majlis menandatangani perjanjian tersebut.

Oleh yang demikian, saya berharap agar rakyat tidak terkeliru dengan permainan persepsi yang cuba ditimbulkan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang seolah-olah PASDEC dengan sewenang-wenangnya menjual tanah kepada pihak luar tanpa ada perancangan jangka masa panjang.

Saya juga telah meminta Penasihat Undang-Undang Negeri untuk meneliti dan mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau sekiranya terdapat sebarang unsur fitnah, menghasut serta menimbulkan sangkaan jahat terhadap Kerajaan Negeri.

Semoga Negeri Pahang terus aman, makmur dan sejahtera serta terhindar daripada anasir-anasir yang boleh memecahkan perpaduan dan keharmonian.

YAB DATO’ SRI DIRAJA HAJI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
16 November 2024

Sumber: Facebook