KUALA LUMPUR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan berikrar tidak akan memberikan laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen yang telah dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Ketua Penerangan AMK Wilayah Persekutuan, Muhammad Azha Salahudin berkata, kerusi yang menangani PH itu akan terus dipertahankan dan ditandingi parti itu untuk PRU16 akan datang.
Menurutnya, hasrat BN untuk bertanding lima kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan dianggap tidak realistik dan berpijak di bumi nyata.
"Apa niat sebenarnya Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa Konvensyen BN Wilayah Persekutuan pada Ahad lepas menyatakan hasrat untuk bertanding lima kerusi Parlimen pada PRU16?
"Ia mustahil dan tidak realistik dalam keadaan 10 daripada 13 kerusi Parlimen dimenangi PH melainkan ada niat menggugat kestabilan gabungan Perpaduan di Wilayah Persekutuan, " katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Ketika ini, daripada 13 kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan, lima disandang wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR), lima DAP dan hanya satu dipegang BN membabitkan Titiwangsa.
Sementara dua yang lain iaitu Putrajaya dan Labuan milik Perikatan Nasional.
Muhammad Azha berkata, kemenangan besar PKR dan DAP di Wilayah Persekutuan menunjukkan kepercayaan dan keyakinan warga kota memilih wakil rakyat PH untuk mewakili suara mereka ke Dewan Rakyat.
Bersatu bakal berdepan cabaran kosongkan lima kerusi Parlimen
Justeru katanya, AMK Wilayah Persekutuan menggesa BN berhenti bermain politik berkenaan isu agihan kerusi PRU16.
Beliau meminta BN menumpukan kepada usaha perkukuh keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan serta tumpu isu-isu kebajikan rakyat terutama di ibu kota.