KENYATAAN MEDIA
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada 25 November 2024 bersamaan 23 Jamadilawwal 1446H telah mengadakan perbincangan dan memperincikan perkara-perkara berikut:
1. Kerajaan Madani yang genap 2 tahun Sabtu lalu terbukti menjadi formula ampuh berteraskan semangat perpaduan dan kepelbagaian kaum dan agama perlu terus didokong dan dipertahankan demi kesejahteraan rakyat dan keharmonian negara.
2. Ahli Mesyuarat bersepakat meminta supaya segala usaha untuk memperkukuh dan mempereratkan lagi hubungan di kalangan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk terus dipertingkatkan.
3. Majlis Kerja Tertinggi juga meminta supaya semua wakil-wakil UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sama ada yang memegang amanah parti dalam Jemaah Menteri mahupun Agensi-Agensi dan Syarikat-Syarikat Kaitan Kerajaan mesti terus meningkatkan prestasi kerja dengan cemerlang demi rakyat dan negara.
4. UMNO akan memulakan Sekolah Politik yang akan dibuka kepada semua rakyat Malaysia bermula awal tahun hadapan memfokuskan kepada ilmu-ilmu asas kenegaraan, perlembagaan, dinamika politik demokrasi, politik khidmat dan bakti kepada rakyat.
5. Majlis Kerja Tertinggi sebulat suara untuk melepaskan dan menarik semula penggantungan keahlian Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Ahli UMNO berkuat kuasa serta merta selaras dengan Fasal 10.6 dan Fasal 5.3 Perlembagaan UMNO.
6. Majlis Kerja Tertinggi mengucapkan tahniah atas perlantikan Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi Dilantik.
DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
25 NOVEMBER 2024