Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Bendahari Agung PN.
Lidah rasmi PAS, Harakah Daily melaporkan pengumuman itu dibuat melalui satu kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan PAS Pusat.
Dalam kenyataan tersebut, Ahmad Samsuri berkata dia telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada pihak pengurusan PN hari ini.
“Assalammualaikum kepada semua sahabat, saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa saya, Ahmad Samsuri bin Mokhtar, telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional pada hari ini, Rabu, 11 Disember 2024. Sekian. Harap maklum,” katanya dalam mesej ringkas tersebut.
Harakahdaily melaporkan setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pengurusan PN berhubung perkara ini.
"Punca perletakan jawatan ini juga masih belum didedahkan secara rasmi oleh Dr Ahmad Samsuri atau mana-mana pihak berkepentingan dalam PN. Sebarang spekulasi mengenainya masih belum disahkan.
"PN dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat," menurut laporan tersebut.
Peletakan jawatan itu dibuat hanya dua hari selepas majlis tertinggi PN bermesyuarat untuk mengesahkan pelantikan enam jawatan penting iaitu setiausaha agung, ketua wanita, ketua penerangan dan ahli majlis tertinggib gabungan itu.
Mesyuarat itu menyaksikan Bersatu mengekalkan kesemua enam jawatan .