Seorang pemimpin PKR mencadangkan BN mengkaji “hubungan” dengan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh.
Ini selepas Akmal mencadangkan agar BN mengkaji semula hubungan dengan parti "kawan", merujuk kepada Pakatan Harapan (PH).
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata kenyataan-kenyataan Akmal yang sering menyasarkan pemimpin DAP, PKR dan PDP memberi gambaran seolah-olah dia “terikat” dengan pihak lain.
"Soalan saya sangat mudah kepada Akmal. Di mana beliau ketika BN bersetuju mengadakan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan kerajaan pusat baru melalui 'Langkah Sheraton' sedangkan PN sapu 13 ahli parlimen Umno selepas PRU14 pada tahun 2018.
"Kalau PH, pikat satu pemimpin Umno pun nak kaji semula kedudukan dalam kerajaan, tapi, kalau PN sapu 13 ahli parlimen pun tak ada masalah.
"Nampaknya, BN yang sepatutnya kaji semula kedudukan Akmal dalam gabungan itu yang menjadi duri dalam daging dalam kerajaan ini," katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, Akmal mencadangkan BN mengkaji semula hubungan mereka dengan parti "kawan" ekoran ada desas-desus menyatakan ada ahli Umno yang sedang 'dipikat' pihak luar.
Dalam kenyataan ringkas semalam, Akmal berkata langkah tersebut wajar difikirkan jika ada "kawan dalam kerajaan" yang tidak menghormati mereka.
Akmal yang juga exco Melaka berkata Umno mempunyai maruah dan parti itu tidak boleh diperlekehkan.
Dia dipercayai mengulas laporan mengenai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang dispekulasikan menyertai PKR.
Zafrul sebelum ini merupakan ahli perbankan sebelum dibawa menyertai kerajaan semasa zaman Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri. Dia kemudian dikekalkan dalam kabinet apabila Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin, dan terus menjadi anggota kerajaan di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim.
Zafrul merupakan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.
Terdahulu, Anwar mengesahkan terdapat perbincangan awal dalam parti itu berhubung penyertaan Zafrul ke dalam PKR.
Anwar menegaskan PKR tidak mengamalkan budaya mengambil ahli parti lain tetapi sedia berbincang kerana mereka mengamalkan sikap terbuka.
Kata Anwar dalam sejarah parti, ada bekas pemimpin PKR pernah menjadi setiausaha agung Amanah dan ada juga yang keluar menyertai DAP.
Sementara itu, mengulas lanjut, Sathia berkata adalah perkara biasa untuk seseorang menukar parti.
"Ia adalah sebahagian demokrasi dan satu perkara biasa.
"Yang penting, sebagai parti kita (PKR) tidak boleh menarik ahli lain. Tapi, sekiranya ada pemimpin nak tinggalkan parti mereka dan masuk parti kita, ia boleh dibincang.
"Saya nampak Akmal tak cukup kematangan politik untuk memahami isu ini," katanya.