KUALA LUMPUR - Bekas Ahli Dewan Negara, Mohamad Ezam Mohd Nor mendakwa telah menerima dokumen Titah Pembebasan Segera melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, 5 Disember lalu.
Mohamad Ezam berkata, dokumen itu diserahkan seseorang kepadanya ketika berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta.
Menurut beliau, seluruh jemaah menteri dilihat secara sengaja mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan itu pada 29 Januari lalu sedangkan keputusan itu dibuat berdasarkan kuasa baginda seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Dakwaan ini berasaskan beberapa dokumen berkaitan Lembaga Pengampunan yang saya terima beberapa hari lalu.
"Segala dokumen ini mengandungi perintah dan titah Yang di-Pertuan Agong bersama cap mohor kerajaan, telah saya serahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata demikian sidang akhbar selepas selesai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Rabu.
Katanya, seluruh Kabinet dilihat gagal melaksanakan titah diraja, sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan politik mereka.
"Penjelasan Perdana Menteri di Parlimen baru-baru ini dilihat sebagai usaha untuk menutup jenayah dan keingkaran terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.
"Kerajaan juga dilihat mengambil masa hampir setahun untuk memberi penjelasan selepas sidang Lembaga Pengampunan dan ini pada saya ia merupakan bukti kelewatan yang disengajakan," katanya.
Menurutnya, Perdana Menteri terutamanya perlu melaksanakan tugas hakiki dengan mematuhi titah dan perintah Yang di-Pertuan Agong tanpa sebarang muslihat.
"Isu ini bukan sekadar soal ketaatan kepada Raja, tetapi juga melibatkan keadilan, hak asasi manusia, dan prinsip amanah yang diberikan kepada Perdana Menteri," katanya.
Pada 23 Oktober di dalam satu rancnagan podcast, anak Najib, Nazifuddin juga pernah memberitahu bahawa pihak keluarga terkejut Najib hanya diberi Pengampunan Separuh, sedangkan keluarga telah diberitakan YPD Agong telah pun beri Pengampunan Penuh.
Video tersebut boleh dilihat di sini:
video sidang media Ezam: