Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Polis kesan dua kumpulan merusuh dekat LRT Bandar Tasik Selatan (video)



KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan lanjut insiden pergaduhan antara dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, tengah malam tadi. 

Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya juga sudah membuat satu laporan polis berhubung insiden itu bagi memastikan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya ke atas kesemua pelaku. 


"Prasarana amat kesal dengan kejadian ini dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk kekerasan dan kelakuan agresif di stesen dan di dalam tren. 

"Satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Sungai Besi berkaitan insiden dan sedang bekerjasama dengan PDRM untuk menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan tindakan yang sewajarnya diambil terhadap individu yang terlibat," katanya.

Mengenai kejadian pergaduhan itu, Prasarana berkata insiden berlaku membabitkan sekumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang - Sri Petaling sekitar jam 12 tengah malam tadi.

"Insiden ini mengakibatkan kerosakan pada kemudahan di stesen serta bahagian pintu dan cermin tingkap tren yang berada di platform. Walau bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan semasa kejadian tersebut.

"Pihak polis bantuan Prasarana berjaya meleraikan pergaduhan yang berlaku dan membawa keluar kumpulan penyokong dari Stesen LRT Bandar Tasik Selatan untuk mengelakkan sebarang situasi yang lebih berbahaya," katanya. 

Menurut kenyataan itu, sebagai pengendali perkhidmatan rel dan bas Rapid KL di Lembah Klang, Prasarana komited untuk memastikan bahawa sistem pengangkutan awam sentiasa menjadi tempat yang selamat dan selesa untuk semua pengguna.

"Kami juga menggesa semua pengguna untuk menunjukkan sikap yang lebih bertanggungjawab dan beradab ketika menggunakan perkhidmatan kami," katanya. - Berita Harian - 

video: