KOTA BHARU - Satu kes rogol remaja bawah umur dilaporkan berlaku di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di sini semasa banjir pada 2 Disember lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah malam itu membabitkan seorang gadis berusia 15 tahun dan suspek lelaki berusia 23 tahun juga buruh binaan.
"Mangsa dan suspek dikatakan baru berkenalan di PPS terbabit dan dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu di sebuah stor sekolah yang dijadikan PPS tersebut.
"Perlakuan mereka diketahui abang gadis berkenaan sebelum keluarganya bertindak membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini pada Jumaat.
Menurutnya, susulan itu, lelaki terbabit ditahan pada 6 Disember lalu dan dikenakan perintah tahanan reman selama enam hari bagi membantu siasatan.
"Pada 12 Disember lalu, suspek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan mengaku tidak bersalah.
"Mahkamah menetapkan kes untuk sebutan semula pada 14 Januari ini dan tidak ada jaminan ditawarkan,” katanya.
Mohd Yusoff memberitahu, selain kejadian rogol berkenaan, enam lagi kes jenayah berlaku semasa banjir baru-baru ini membabitkan empat kes pecah rumah dan masing-masing satu kes berkait curi kenderaan serta cabul.
"Tiga kejadian pecah rumah, satu kes curi kenderaan dan satu kes cabul berlaku di Tumpat.
"Satu lagi kes pecah rumah berlaku di Pasir Mas,” katanya.