KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa, ramai rakyat di negara ini mempunyai telefon bimbit peribadinya.
Najib, 71, berkata demikian ketika ditanya cara ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low menghubunginya secara terus dan mempunyai akses kepada nombor telefon bimbit peribadinya.
Dalam prosiding hari kedua bela diri, kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pengubahan wang haram, Najib berkata tidak mengetahui sepenuhnya, bagamina Jho Low mendapat nombor telefon tersebut.
Beliau berkata, telah mengenali ahli perniagaan kontroversi itu, menerusi anak tiri, Riza Shahriz Abdul Aziz yang berkawan dengan adik Jho Low, Taek Szen, ketika di London School of Economics (LSE).
“Hubungan keluarga ini mungkin memudahkan akses Jho Low kepada maklumat dalam kontak saya.
“Ramai ada nombor telefon peribadi saya, kerana boleh dikatakan ia merupakan budaya politik negara,” katanya.
Dalam pada itu, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyoal, sama ada bekas Ahli Parlimen Pekan ini membenarkan Jho Low menggunakan keistimewaan itu, untuk berkomunikasi dengan pegawai lain bagi menyampaikan arahannya.
Najib menjawab “tidak pernah”, malah beliau mengharapkan pegawai lain tidak menerima arahan daripada Jho Low tanpa memeriksa semula dengannya.
Sementara itu, bekas ahli politik ini berkata, beberapa pegawai kanan 1MDB telah bersekongkol melakukan salah laku dan penyelewengan dengan Jho Low.
Katanya, beberapa pegawai kanan dalam syarikat pelaburan strategik negara itu ialah saksi pendakwaan kesembilan (SP9), bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan (SP10) Mohd Hazem Abdul Rahman.
Katanya, mereka termasuk (SP50) bekas peguam, Jasmine Loo Ai Swan; (SP8) bekas Pegawai Khasnya, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dan (SP12) bekas Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir.
Bekas Ahli Parlimen Pekan ini berkata, mereka berjumpa dalam pertemuan di rumah Jho Low.
“Saya sendiri tidak pernah ke rumah Jho Low atau mengetahui kediamannya di Jalan Kia Peng di sini,” katanya ketika membaca jilid pertama kenyataan saksi setebal 335 muka surat.
Pada 30 Oktober lalu, Najib diperintah membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) bersambung Rabu.