Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Solidariti Bossku: PAS bawa ribuan ahli banjiri Putrajaya


PETALING JAYA: PAS akan mengadakan himpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ pada 6 Jan depan.

Menurut surat yang dikeluarkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan kepada pesuruhjaya PAS Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, dan Pahang serta setiausaha sayap-sayap parti, perhimpunan itu akan diadakan mulai 9 pagi di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.


Beliau berkata, himpunan itu diadakan bagi menunjukkan solidariti bersama bekas perdana menteri itu dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung titah addendum Agong.

“Sehubungan itu saudara-saudari dipinta menggerakkan ahli PAS bawah pentadbiran masing-masing supaya menghadiri himpunan tersebut,” kata Takiyuddin dalam surat tersebut.

Beliau menggesa ahli-ahli PAS menghadiri perhimpunan itu ‘demi menunjukkan suatu isyarat nyata kepada kerajaan Madani tentang keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang dituntut rakyat’.

Sementara itu, seorang pemimpin sayap PAS yang enggan namanya disiarkan mengesahkan pihaknya telah menerima arahan tersebut pagi tadi dan akan turut serta dalam himpunan berkenaan.

“Setakat ini, kami belum tahu berapa ramai (yang akan hadir), tetapi kami akan turun,” katanya kepada FMT.

Terdahulu dilaporkan Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Jan depan untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah addendum.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah addendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.