Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Taman Tema Bandar Malaysia batal, Malaysia perlu bayar pampasan kepada syarikat Singapura


TRX City Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Kementerian Kewangan, membatalkan perjanjian dengan sebuah syarikat Singapura untuk membina taman tema di Bandar Malaysia.

Langkah ini dijangka memerlukan TRX City membayar pampasan besar kepada Sim Leisure Group Ltd, namun syarikat Malaysia itu dilihat bakal meraih keuntungan berbillion ringgit sebagai balasan.


Menurut pengumuman oleh Sim Leisure pada 19 Disember di Bursa Singapura, TRX City telah menghantar notis pada 16 Disember untuk membatalkan perjanjian tersebut.

Akibat pembatalan itu, syarikat Malaysia itu mesti memulangkan deposit keselamatan sebanyak RM350,000 kepada syarikat Singapura tersebut, serta memulangkan bayaran pendahuluan sebanyak RM1 juta.

Selain itu, Sim Leisure juga menuntut pampasan untuk semua perbelanjaan modal yang telah mereka laburkan setakat ini, namun jumlah spesifik tidak dinyatakan.

Laporan media bulan lalu menyebut bahawa syarikat Singapura itu baru-baru ini mengemukakan cadangan untuk pembangunan bercampur yang merangkumi taman tema dengan aktiviti lasak, kemudahan berkaitan, serta penginapan seperti banglo, rumah teres, dan pangsapuri.

Keputusan membatalkan perjanjian dengan syarikat Singapura itu dilihat berkait dengan perjanjian bernilai berbilion ringgit untuk mengambil alih hartanah yang terletak di Sungai Besi.

The Edge, dalam salinan digital versi cetak pada Isnin, melaporkan bahawa KLCC Property Holdings Bhd (KLCCP) – sebuah subsidiari Petronas – sedang dalam perbincangan untuk memperoleh Bandar Malaysia.

Menurut sumber, nilai perjanjian itu dianggarkan sebanyak RM12 bilion, dengan KLCCP dijangka membayar RM6 bilion sebagai pendahuluan manakala baki akan dibayar "mengikut keperluan."

"Perjanjian ini akan membolehkan kerajaan memonetisasi asetnya dan pada masa yang sama melunaskan hutang Bandar Malaysia, yang kebanyakannya melibatkan dana kerajaan," menurut salah satu sumber.