Putrajaya: Pelakon juga pelawak, Along Cham, 42, kesal dengan tindakan isterinya, Afreena Suhaimi yang didakwa membuka tabung dana bagi kegunaan dirinya ketika ditahan di Penjara Sungai Buloh, termasuk urusan penjagaan anak lelakinya, Ahmad Daniel, 14.
Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad berkata, apa yang diketahuinya jumlah wang di dalam tabung dana itu sudah terkumpul hampir RM100,000 daripada sumbangan orang awam dan rakan selebriti.
"Bagaimanapun, wang tabung dana yang dikumpulkan atas nama saya dianggarkan kira-kira RM100,000 itu, sesen pun tidak sampai ke tangan saya. Malah, urusan penjagaan anak saya, Ahmad Daniel pun dijaga oleh mommy, Didie Alias.
"Bukan Afreena yang menjaga anak saya itu sebagaimana didakwanya. Duit dana yang dikatakan untuk kegunaan saya pun sejujurnya tidak ada. Dana berkenaan memang tak sampai pun pada pihak saya.
"Duit yang digunakan untuk ikat jamin saya adalah daripada ibu saya, Siti Habsah Kadir, 64, keluarga dan ibu angkat saya, 'mommy' Didie Alias. Jadi, saya pelik juga apabila ada kalangan selebriti yang beri sumbangan, tapi dana itu tidak sampai ke tangan saya," katanya.
Menurut Along, dia juga mendapat tahu bahawa pelakon Aaron Aziz juga menjadi antara mangsa penipuan isterinya itu.
"Yang terbaharu, saya mendapat panggilan daripada abang saya, Aaron Aziz yang kini berada di Uzbekistan. Dia ada memberikan kata-kata semangat.
"Bahkan, paling mengejutkan saya apabila Aaron memaklumkan semalam, Afreena ada meminta wang RM20,000 kepadanya, tetapi Aaron hanya memberikan RM5,000 kononnya untuk ikat jamin saya.
Dalam pada itu, Along memohon maaf bagi pihak Afreena yang mempergunakan namanya untuk kepentingan sendiri dengan melancarkan tabung dana berkenan.
"Bagi pihak Afreena, saya memohon maaf kerana dia menggunakan nama saya. Bagaimanapun, saya tak faham apa motif sebenar isteri saya itu," katanya.
Along Cham memfailkan pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi di Mahkamah Syariah Putrajaya, hari ini.
Menurut sumber, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, memfailkan pengesahan cerai taklik tersebut dan tiba di mahkamah pada jam 12 tengah hari tadi bersama ibunya.
"Along Cham fail cerai dan pengesahan lafaz taklik di Mahkamah Syariah Putrajaya hari ni,” ujar sumber terbabit.
Along dan Afreena, 32, mendirikan rumah tangga pada 4 April 2024 selepas lapan tahun menduda.