Kuala Lumpur: Lelaki bukan Islam dipercayai mengalami gangguan mental membuat kacau di sebuah masjid di Taman Tun Dr Ismail, di sini semalam.
Kejadian itu tular di media sosial selepas satu klip video berdurasi dua minit 46 saat dimuat naik naik di media sosial memaparkan seorang lelaki membuat kacau.
Menurut sumber, lelaki berusia 20-an berkenaan dipercayai memandu kereta dari rumahnya di Jalan U Thant, di sini sambil diekori keluarganya.
"Tiba di pekarangan masjid berkenaan, lelaki itu meluru masuk dan membuat kecoh ketika jemaah sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.
"Lelaki itu dilaporkan melakukan perbuatan yang tidak wajar di dalam masjid berkenaan," katanya hari ini.
Difahamkan, lelaki berkenaan diserahkan kepada pihak polis yang tiba di masjid selepas dihubungi oleh jemaah.
Dia kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan sebagai seorang pesakit mental.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood ketika dihubungi memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian itu dalam masa terdekat.
video: