Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

MP PAS, Mastura selesai bayar RM830,034 kepada Kit Siang, Guan Eng, Theresa


GEORGE TOWN - Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad telah menyelesaikan pembayaran sebanyak RM830,034.75 dalam bentuk ganti rugi dan kos guaman (termasuk faedah) kepada tiga pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok.

Pembayaran ganti rugi itu dibuat melalui penyerahan cek kepada peguam tiga pemimpin itu, Datuk Sankara Nair pada Rabu.


Sankara mengesahkan bahawa firma guamannya telah menerima cek berjumlah RM830,034.75, termasuk faedah sehingga Khamis daripada Siti Mastura.

Ahli Parlimen Pas itu telah mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk membayar ganti rugi keseluruhan dan kos guaman berjumlah RM825,000 termasuk faedah kepada ketiga-tiga plaintif dengan menyerahkan cek kepada Sankara Nair, sementara menunggu rayuan kes.

"Dengan persetujuan ini direkodkan, kami akan mengeluarkan surat ikatan kepada defendan untuk tindakan lanjut dan menunggu perbicaraan Mahkamah Rayuan,” katanya menerusi aplikasi Zoom Meeting yang diadakan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, yang turut dihadiri peguam Siti Mastura, Yusfarizal Yusoff.

Peguam bagi kedua-dua pihak mencapai persetujuan di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Quay Chew Soon, pada pagi Rabu.

Yusfarizal berkata, beliau telah meminta agar kes ini dipanggil di dalam kamar kerana kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan mengenai pengaturan kes terbabit.

“Siti Mastura telah membuat pembayaran kepada firma guaman Sankara Nair dan jumlah tersebut dibayar ke dalam akaun firma dengan syarat wang itu disimpan dalam akaun peguam sehingga selesai rayuan di Mahkamah Rayuan.

"Pengaturan ini telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak manakala pendengaran rayuan dijangka akan berlangsung di Mahkamah Rayuan pada 13 Mac ini. Kes ini kini berada di peringkat pengurusan kes," katanya.

Sebelum itu, Siti Mastura yang didapati telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap tiga pemimpin DAP itu dan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Sebelum ini, tiga pemimpin DAP menyaman Siti Mastura berhubung ucapannya dalam ceramah pada Pilihan Raya Kecil Kemaman, yang mana saman tersebut difailkan secara berasingan oleh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, bapanya, Tan Sri Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim selaku plaintif pada 27 November tahun lalu.

Menerusi penyataan tuntutan, ketiga-tiga plaintif mendakwa Siti Mastura telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan Parti Komunis dan ketuanya Chin Peng serta mendiang Kuan Yew.

Mereka mendakwa ketika ceramah pada 4 November 2023, defendan telah membuat beberapa kenyataan yang merujuk secara langsung dan tidak langsung kepada ketiga-tiga plaintif iaitu mereka mempunyai hubungan dengan parti komunis, menyokong serta mengamalkan selain menyebarkan ideologi dan falsafah komunisme dalam negara.

Bagaimanapun, dalam pembelaannya yang difailkan pada Januari lalu, Siti Mastura telah mempertahankan kenyataannya itu bahawa ia dibuat berdasarkan kebenaran dan fakta.

Siti Mastura berkata, dakwaannya itu dibuat berdasarkan buku panduan 'BN Comms' yang membuat penyelidikan mendalam, diterbitkan Barisan Nasional untuk pemimpin partinya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.