Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Peguam Negara serah Titah Adendum kepada Istana semula, bukan sorok -Anwar


Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini mengakui bahawa peguam negara menerima surat berhubung titah tambahan diraja yang membolehkan bekas perdana menteri, Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Bagaimanapun, dia menyebut selepas surat itu diterima, Agong bertukar dan peguam negara menyerahkan surat itu kepada istana negara bagi membolehkan Agong yang baru, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, membuat keputusan.


"Surat tu dihantar kepada peguam negara, bukan kepada saya, bukan kepada ahli lembaga pengampunan.

"Dan peguam negara kemudian bila Agong ganti, diserah kepada Istana Negara, kerana Agong yang pengerusikan (lembaga pengampunan). Itu keadaan dia, bukan kita sorok,” kata Anwar semasa berucap di Program Muhibbah Madani hari ini.

Pada 6 Jan lalu, Istana Pahang mengesahkan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah mengeluarkan titah tambahan berhubung perintah tahanan rumah terhadap Najib.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan surat itu di Mahkamah Rayuan dalam usaha bekas perdana menteri itu memaksa kerajaan melaksanakan titah berkenaan.

Surat berkenaan yang ditandatangani Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Ahmad Khirrizal Ab Rahman, mengesahkan bahawa Sultan Abdullah memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Mahkamah akhirnya membenarkan rayuan Najib menggunakan titah itu dalam kesnya di Mahkamah Tinggi.

Anwar dipercayai merujuk kepada Peguam Negara sebelum ini iaitu Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, yang berkhidmat antara 6 Sept 2023 hingga 11 Nov 2024.

Pada 6 Jan tahun lepas, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara ke atas Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun dan mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.