Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Sokongan kepada Bossku merentasi parti politik, keluarga Najib ucap terima kasih



PETALING JAYA: Keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan penghargaan kepada sokongan orang ramai yang merentasi parti politik dalam himpunan solidariti semalam.

Anak kedua Najib, Datuk Mohd Nazifuddin berkata, sokongan itu merupakan solidariti dapat mengukuhkan lagi prinsip keadilan yang menjadi teras di negara ini sekali gus menunjukkan semangat perpaduan dan keazaman kukuh dalam kalangan rakyat.


“Walaupun terdapat halangan, termasuk sekatan terhadap bas yang membawa penyokong, komitmen anda semua tetap teguh tidak runtuh. Kepercayaan pada kebenaran ini cukup mencerminkan yang kamu semua adalah rakyat yang bijak menilai.

“Sekali lagi, terima kasih kerana berdiri bersama kami. Sokongan anda adalah sinar harapan dan kami tetap optimis, bersama-sama kita akan mencapai penyelesaian adil. 

“Hidayah milik Allah. Usaha sudah melangkaui batas norma insan biasa dan kami telah buat yang terbaik.  Usaha dan bukti sudah kami utarakan. Selebihnya biar Azzawajalla uruskan. Moga ada sinar di hujung usaha ini. Allahumma bissawab,” katanya dalam Facebooknya hari ini.

Semalam, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membuktikan kewujudan suara Titah Adendum yang dikatakan membenarkan beliau menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah. 

Keputusan itu dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.

Dalam pada itu, Nooryana Najwa berkata, sokongan yang ditunjukkan itu juga  adalah sumber kekuatan kepada Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan.

“Kalaulah daddy (Najib) dapat melambaikan tangan kepada mereka semua (penyokong) untuk beberapa saat sebagai tanda terima kasih.

“Ada yang datang dari jauh, tidak tidur sepanjang malam untuk tiba awal di Putrajaya. Berkat doa dan sokongan anda semua, kita dapat mengecapi kemenangan pada hari ini (semalam).

“Kita sudah selangkah ke hadapan, namun perjuangan masih belum selesai. Insya-Allah, keikhlasan dan kejujuran akan membawa kita ke garisan penamat,” katanya. – UTUSAN