Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Titah Adendum: Kenyataan terkini Anwar dedahkan Peguam Negara dan kerajaan kepada krisis Perlembagaan



Pengakuan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa peguam negara telah menerima titah tambahan yang membolehkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani tahanan rumah mendedahkan kerajaan kepada konflik undang-undang dan Perlembagaan.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu berlawanan dengan sumpah jawatan yang diikrarkan Anwar untuk menjunjung perlembagaan, taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan konsep Raja Berperlembagaan semasa mula menjawat jawatan perdana menteri ke-10.


"PAS mendapati penjelasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bukan sahaja lemah dan mengelirukan, tetapi berpotensi mencetus konflik undang-undang dan krisis Perlembagaan, selain menghakis keabsahan kerajaan pimpinannya sendiri," kata Takiyuddin dalam satu kenyataan malam ini.

Anwar semalam mengakui bahawa peguam negara ada menerima surat berhubung titah tambahan itu.

Bagaimanapun, Anwar berkata selepas surat itu diterima, Agong bertukar dan peguam negara menyerahkan surat itu kepada Istana Negara untuk membenarkan Agong yang baru Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, membuat keputusan – tanpa Lembaga Pengampunan dan kehadirannya.

"Surat tu dihantar kepada peguam negara, bukan kepada saya, bukan kepada ahli lembaga pengampunan.

"Dan peguam negara kemudian bila Agong ganti, diserah kepada Istana Negara, kerana Agong yang pengerusikan (lembaga pengampunan). Itu keadaan dia, bukan kita sorok,” katanya.

Anwar tidak menamakan peguam negara tersebut tetapi ia dipercayai merujuk kepada peguam negara sebelum ini, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Mengulas perkara itu, Takiyuddin berkata kegagalan melaksanakan titah berkenaan ketika Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah masih bertaktha merupakan perbuatan derhaka terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong.

"Penjelasan Anwar berhubung tindakan Peguam Negara menyerahkan titah berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17 (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) untuk tindakan lanjut kerana kedudukan baginda sebagai pengerusi Lembaga Pengampunan berikutnya pula mendedahkan kerajaan kepada konflik undang-undang dan Perlembagaan berikutan tiadanya peruntukan undang-undang yang membenarkannya.

"Semasa titah itu dibuat, Yang di-Pertuan Agong ke-16 masih bertakhta dan titah baginda mesti dilaksanakan sepenuhnya kerana kegagalan berbuat demikian boleh diistilahkan sebagai perbuatan derhaka terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong dan konsep Raja Berperlembagaan,” kata Takiyuddin

Menurutnya kedudukan ini telah disahkan oleh duluan (precedent) mahkamah dalam kes Superintendent of Pudu Prison lwn Sim Kie Chon (1986) dan kes Karpal Singh lwn Sultan Selangor (1988) yang memutuskan bahawa "Lembaga Pengampunan hanyalah badan penasihat dan Agong tidak wajib mengikuti nasihat tersebut semasa melaksanakan kuasa pengampunan bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan"