Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

UMNO batal himpunan Solidariti Najib



KENYATAAN MEDIA

1. UMNO menjunjung hormat Titah Kenyataan Tuanku Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa jua kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.


2. Sebagai satu-satunya parti yang konsisten memperjuangkan dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Parti, UMNO sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

3. UMNO dengan penuh kerendahan diri akur atas segala saranan Titah Tuanku agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dengan mengemukakan rayuan terhadap Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak, bekas Perdana Menteri yang banyak jasanya pada rakyat dan negara.

4. UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sebagaimana Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong.

5. Atas prinsip menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan sebagaimana arahan Ketua Polis Negara, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada 6 Januari 2025 ini. 

6. UMNO menaruh sepenuh keyakinan atas keihsanan dan kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan keadilan penuh kepada Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak.

7. UMNO juga ingin merakamkan penghargaan tinggi kepada seluruh Ahli UMNO yang sudahpun menyatakan komitmen tinggi untuk memberikan sokongan moral walaupun tiada arahan rasmi daripada ibu pejabat UMNO sebelum ini.

Yang Menjalankan Amanah,

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Setiausaha Agung UMNO
3 Januari 2025