Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

1MDB: Kerabat Diraja Saudi sahkan derma RM2.3 billion kepada Najib



PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpuas hati terhadap ketulenan empat keping surat yang mengesahkan pemberian derma RM2.3 billion kepada Datuk Seri Najib Razak.

Pegawai kanan SPRM, Fikri Ab. Rahim berkata, perkara itu disahkan hasil pengakuan kerabat Arab Saudi, Putera Saud Abdulaziz Majid Al-Saud yang disampaikan menerusi keterangan peguam istana yang mewakilinya, Mohamad Abdullah Al-Koman.


Ujar saksi pembelaan kelapan (DW8), Abdullah Al-Koman memaklumkan, putera Arab Saudi itu mengaku beliau merupakan penulis surat-surat berkenaan untuk tujuan derma kepada bekas Perdana Menteri.

Menurut Fikri, meskipun pengesahan sudah diperoleh dari keluarga diraja Arab Saudi, siasatan masih diteruskan bagi membolehkan agensi tersebut memperolehi keterangan lain.

Ujarnya, beliau merupakan sebahagian daripada pasukan SPRM yang berkunjung ke Riyadh pada akhir November 2015 bagi menyiasat dakwaan derma politik yang didakwa disalurkan kepada Najib.

Ujarnya, beliau menerima arahan daripada pengurusan tertinggi SPRM untuk memfokus siasatan bertujuan mengenal pasti punca wang dalam akaun peribadi AmBank milik Najib seperti yang tertera dalam laporan terhadap beliau.

Turut serta dalam pasukan, Tan Sri Azam Baki (ketika itu Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang juga pengarah siasatan) dan Tan Sri Dzulkifli Ahmad (bekas timbalan pendakwa raya mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ujarnya, selepas merekod keterangan Abdullah Al-Koman, beliau berpuas hati dan memaklumkannya kepada Azam.

“Tan Sri bertanya sama ada saya berpuas hati, saya kata saya puas hati. Jika demikian beliau minta saya maklumkan kepada wakil AGC yang turut hadir dalam siasatan itu.

“Apa yang boleh saya rumuskan, kami berpuas hati dengan keterangan wakil raja Arab Saudi itu, namun siasatan masih diteruskan berkaitan isu derma berkenaan. Kami perlukan keterangan lain,” ujarnya yang kini bertugas di Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM.

Beliau berkata, pada pertemuan itu, pasukan siasatan hanya dibenarkan merekod keterangan putera Arab menerusi wakilnya kerana baginda dilindungi imuniti (kekebalan).

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes Najib, 71, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Dalam keterangannya, Fikri berkata, ketika kunjungan itu, pasukan tersebut disambut oleh dua individu yang memperkenalkan diri sebagai Putera Saud dan Mohamad Abdullah Al-Koman.

Ujarnya, mereka turut diarah berpindah ke hotel yang diuruskan oleh kerajaan Arab Saudi atas faktor keselamatan.

“Putera itu menyatakan kami akan berjumpa dengan tiga putera Arab Saudi. Namun kami ditawarkan mengerjakan umrah terlebih dahulu sebelum bertemu mereka.

“Mereka kata kami tetamu negara dan diberi kemudahan menginap di hotel mewah sebelum berlepas ke Jeddah dengan kemudahan yang disediakan,” ujarnya.

Ketika pertemuan dengan kerabat diraja Arab Saudi di istana kerabat itu, Fikri berkata, pihak siasatan hanya dibenarkan merekod keterangan putera Arab menerusi wakilnya kerana dilindungi imuniti.

Ujarnya, mereka diingatkan supaya menjaga protokol dan tidak bertanya soalan sewenang-wenangnya, sebaliknya merekod keterangan melalui wakil istana (Al-Koman).

Saksi berkata, mereka dibawa ke satu ruangan yang besar dalam istana dan melihat tiga individu yang mana salah seorang ialah Putera Turki yang beliau camkan berdasarkan gambar profailing yang dibuat pasukan itu.

“Putera Turki kemudian perkenalkan Putera Saud (kerabat yang keluarkan surat-surat berkenaan) dan seorang lagi bernama Putera Faisal.

“Putera Turki kemudian meminta Putera Saud mengeluarkan pasportnya yang kemudian diserahkan (melalui pembantu istana) kepada Tan Sri Azam Baki untuk disahkan. Kalau tidak silap, ia berwarna hijau dan tercatat `Diplomatic Passport’.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa ini. – MalaysiaGazette.