PENYANYI Aliff Aziz dan pelakon Ruhainies telah menukar pengakuan dan mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada 21 Februari lalu.
Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dalam kenyataan pada Khamis mengesahkan perkara itu dan kedua-dua selebriti itu sudah menjelaskan denda berjumlah RM3,000 pada Jumaat lalu.
"Pada tarikh sebutan lepas iaitu pada 17 Oktober tahun lalu, ditetapkan tarikh 20 dan 27 Februari lalu untuk sambung bicara selepas kedua-duanya mengaku tidak bersalah.
"Bagaimanapun, peguam syarie tertuduh melalui surat bertarikh 18 Februari lalu memaklumkan kedua-dua anak guam berhasrat untuk menukar pengakuan dan memohon kepada pihak Mahkamah untuk pindaan tarikh pada 21 Februari.
"Selepas pertuduhan dibacakan semula dan kedua-duanya menukar pengakuan kepada bersalah.
"Atas pengakuan bersalah itu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah mensabitkan kesalahan ke atas kedua-keduanya dan menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda," katanya.
Terdahulu, Aliff atau nama sebenarnya Mohammad Aliff Aziz, 33, dan Ruhainies atau nama penuhnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, pada prosiding 3 Julai tahun lalu mengaku tidak bersalah selepas dituduh di bawah seksyen 27 (a) dan 27 (b) Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta559], atas kesalahan berkhalwat.
Media sebelum ini melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya, seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah.
Sumber dilapor berkata, tangkapan dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) adalah berdasarkan maklumat awam.