Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata bekas peguam negara (AG) Ahmad Terrirudin Mohd Salleh tidak perlu direhatkan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.
Sebaliknya Faiz berkata Ahmad Terrirudin selaku hakim Mahkamah Persekutuan "hanya perlu dikecualikan" daripada mendengar kes berkaitan titah addendum yang melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.
"Adalah tidak munasabah untuk beliau (Terrirudin) mempengaruhi keputusan kes addendum kerana badan kehakiman hari ini dilihat sebuah badan yang bebas.
"Maka, apa jua keputusan berkaitan kes titah addendum pasti didengar dan diputuskan secara adil dan luar pengaruh," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Semalam, peguam Haniff Khatri Abdulla dan Hasnal Rezua Merican mencadangkan supaya Terrirudin digantung sementara daripada tugasnya sebagai hakim Mahkamah Persekutuan sehingga isu titah addendum diraja ini diselesaikan.
Hasnal berkata kesilapan Terrirudin berhubung titah addendum telah mengelirukan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang akhirnya menolak tindakan undang-undang Najib untuk mengesahkan kewujudan addendum tersebut.
Selain itu, ia juga menyebabkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan kepada parlimen apabila menyifatkan dokumen itu sebagai sekadar "khabar angin," tambah Hasnal.
Hasnal turut menegaskan keputusan di Mahkamah Persekutuan akan menjadi rujukan sah yang mengikat dari segi undang-undang.
Kontroversi titah addendum
Isu ini berkisar tentang kewujudan satu titah tambahan daripada pihak istana yang dikeluarkan pada 29 Januari tahun lalu, yang didakwa membenarkan Najib, yang sedang dipenjarakan menjalani baki hukumannya sebagai tahanan rumah.
Terrirudin merupakan peguam negara ketika Lembaga Pengampunan bersidang dan memberikan pengurangan hukuman kepada Najib.
Dia kemudiannya digantikan oleh Dusuki Mokhtar pada November tahun lalu.
Titah addendum tersebut didakwa dilampirkan bersama titah utama yang mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas perdana menteri itu ke enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International, bekas anak syarikat pelaburan negara yang bermasalah, 1MDB.
Najib bergantung kepada kewujudan titah addendum ini dalam usaha mahkamah sivilnya untuk memaksa Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara melaksanakan tahanan rumah ke atasnya.