Setelah menamatkan tempoh dua tahun sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Nazri Aziz kini kembali ke Kuala Lumpur dan memberi tumpuan kepada perkembangan politik tempatan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Bekas ahli parlimen Padang Rengas selama enam penggal itu berkata fokusnya kini termasuklah menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan memastikan presiden PKR itu kekal memimpin Putrajaya selepas PRU16.
Pada temu bual bersama Malaysiakini, Nazri berkata sokongan terhadap Anwar antaranya berpunca daripada kebimbangan kerana tiada calon lain yang berpotensi memegang jawatan perdana menteri, termasuk dalam partinya sendiri, Umno.
"Saya sangat bimbang untuk negara ini kerana tanpa PMX, siapa yang akan menjadi perdana menteri?
"Menyedihkan untuk dikatakan, sistem kita tidak membenarkan pembentukan pemimpin intelektual yang tidak memainkan sentimen perkauman dan agama.
"Cuba beritahu saya siapa? Ia akan menjadi bencana bagi kita jika Anwar tidak menjadi perdana menteri untuk lima tahun lagi selepas 2026," kata bekas menteri undang-Undang itu.
Nazri, yang mengesahkan dia tidak berhasrat kembali ke parlimen pada PRU16, selepas tidak bertanding dalam pilihan raya umum 2022, turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketidakpastian politik mengenai calon perdana menteri seterusnya.
"Saya hidup dalam kebimbangan kerana saya tidak tahu siapa yang akan menjadi perdana menteri seterusnya," katanya sambil ketawa, tetapi menegaskan komitmennya untuk membantu Anwar.
"Saya akan melakukan yang terbaik untuk membantunya (Anwar) dalam pilihan raya umum akan datang, termasuk turun padang berkempen dan memainkan peranan bagi memastikan beliau menang.
"Kerana saya risau. Tiada seorang pun yang saya yakin boleh mengambil alih sekiranya Anwar tiada," kata veteran Umno yang masih mengetuai bahagian Padang Rengas itu.
Umno tiada calon PM?
Selepas PRU15, Anwar membentuk kerajaan perpaduan dengan pelbagai gabungan dan melantik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi serta Naib Pengerusi Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fadillah Yusof sebagai dua timbalan perdana menteri.
Umno kini hanya memiliki 26 kerusi di Dewan Rakyat, satu kedudukan yang menurut Nazri, tidak memberikan parti itu peluang untuk menamakan calon perdana menteri.
Ketika ditanya jika kebimbangannya mengenai ketiadaan pengganti Anwar turut merangkumi Umno, Nazri secara sinis merujuk kepada Ketua Pemuda Umno, Dr Mohd Akmal Saleh.
"Boleh kamu beritahu saya siapa? Akmal? Kamu beritahu saya siapa?" katanya.
"Saya mungkin boleh menyokong kamu. Tetapi berikan saya satu nama. Bahkan kamu sendiri pun tidak boleh memberikan satu nama," katanya.
Secara tradisi, presiden Umno calon perdana menteri Barisan Nasional (BN), kecuali Ismail Sabri Yaakob, yang menjadi perdana menteri ke-9 selama 15 bulan (2021-2022) walaupun hanya memegang jawatan naib presiden Umno pada ketika itu.
Menyentuh peranan Ketua Pemuda Umno, Nazri menegaskan pandangan Akmal tidak mencerminkan keseluruhan parti kerana hanya mewakili satu daripada empat sayap utama Umno.
"Dalam Umno, kita ada Pemuda, Wanita, Puteri dan Umno induk.
"Umno dalam parlimen hanya ada 26 kerusi, dan Akmal hanya mewakili satu perempat daripada Umno.
"Perlukah kita bimbang bahawa semua ahli Umno berfikir seperti dia?
“Atau adakah semua orang Melayu berfikir seperti dia," soal Nazri.
Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas tanggapannya terhadap Akmal yang sering mengambil pendirian lebih keras berbanding Zahid dalam beberapa isu yang menjejaskan hubungan dengan parti dalam kerajaan, terutamanya DAP.
Sebelum ini, Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong, meminta Akmal menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung garis panduan acara bukan Islam yang dihadiri oleh orang Islam.
‘Majoriti senyap’ tapi tak setuju
Akmal sebelum ini menolak pendirian perdana menteri bahawa garis panduan itu tidak diperlukan, dengan alasan tidak semua orang Islam memahami batasan ketika mengunjungi tempat ibadat bukan Islam.
"Ada yang tidak bersetuju dengannya (Akmal), tetapi mereka tidak akan menyatakannya secara terbuka.
"Mereka ini majoriti senyap [...] Tetapi bagi saya, Pemuda Umno sekarang hanya mewakili sebahagian kecil suara orang Melayu. Jadi, abaikan sahaja mereka," kata Nazri.
Ketika ditanya jika Umno patut kekal bekerjasama dengan Pakatan Harapan pada PRU16, Nazri berkata dia tidak berada dalam badan pembuat keputusan parti dan hanya akan menumpukan kepada menyokong Anwar serta kerajaan sedia ada.