Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bersedia pilihanraya mengejut hujung tahun ini -Azmin


Ketika Kerajaan Madani memasuki tahun ketiga pentadbirannya, Bersatu mula melakukan persiapan jenteranya dengan jangkaan berlaku pilihan raya mengejut penghujung tahun ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali berkata, presiden parti itu, Muhyiddin Yassin menegaskan semua jentera Bersatu mesti digerakkan sekarang untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya itu.


“Dalam perbincangan pagi ini (semalam), YB presiden menegaskan bahawa semua jentera Bersatu mesti digerakkan sekarang untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya mengejut pada hujung tahun ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam tadi.

Menurutnya lagi perbincangan juga memberi tumpuan kepada "perkembangan yang amat meyakinkan" susulan perbincangan khas di kalangan pimpinan tertinggi Bersatu dan PAS pada Rabu lalu.

Perbicangan khas itu turut dihadiri Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Muhyiddin.

“Presiden (Muhyiddin) mengeluarkan arahan supaya audit kekuatan jentera Bersatu dimulakan di semua negeri khususnya kawasan-kawasan tumpuan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

“Presiden juga menyeru semua pimpinan dan ahli-ahli untuk menjaga disiplin dan berintegriti, menjalin kerjasama dengan parti-parti anggota dalam Perikatan Nasional dan senantiasa menyantuni dan prihatin rakyat.

"Semoga Allah S.W.T. mempermudahkan perjalanan perjuangan Bersatu dan memberi kemenangan yang besar dalam pilihan raya negeri dan PRU16,” kata Azmin.

Bulan lalu Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dilaporkan berkata parti itu akan mengetuai pakatan pembangkang dengan mengatakan PAS memiliki lebih kekuatan berbanding Bersatu.

PAS kini mempunyai 43 kerusi parlimen di Dewan Rakyat, berbanding Bersatu yang memenangi 25 kerusi parlimen dalam PRU ke-15.