Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Harga lantai padi dinaikkan ke RM1500 -Mat Sabu


KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menyelaraskan harga belian lantai padi kepada RM1,500 setiap tan metrik berbanding RM1,300 berkuakuasa Ahad ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu turut mengumumkan, kerajaan akan mengekalkan Beras Putih Tempatan pada harga RM2.60 sekilogram dengan menyerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.


Menurutnya, penetapan harga berkenaan mengambil kira kenaikan kos upah dan kos input pertanian seperti baja, racun dan lain-lain serta impak kepada kos pengeluaran beras dan seterusnya memberi kesan kepada harga beras di pasaran.

"Sukacita saya juga ingin memaklumkan bahawa pihak KPKM pada masa ini sedang memuktamadkan perundingan bersama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk membolehkan penyedia perkhidmatan di dalam industri padi dan beras juga layak menerima bantuan subsidi diesel di bawah Program Budi Madani.


"Pengekalan Beras Putih Tempatan pada harga RM2.60 sekilogram dilaksanakan bagi memastikan keberadaan bekalan BPT sekitar 24 juta kampit 10 kilogram di pasaran.

"KPKM sedang memperincikan kaedah pelaksanaan dan ia akan diumumkan setelah perincian dimuktamadkan dalam masa terdekat," katanya ketika menyampaikan penerangan khas berkaitan isu beras dan harga lantai padi di Dewan Rakyat pada Khamis.


Beliau menambah, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga sedang meneliti keseluruhan Akta 522 (Akta Kawalan Padi Dan Beras 1994) untuk disesuaikan dengan proses reformasi yang dilaksanakan oleh Kementerian.

"Kerajaan pada 7 Februari 2025 telah pun bersetuju dengan cadangan KPKM untuk menubuhkan Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia (MAREA) yang bertujuan untuk memperkukuhkan aspek kawal selia dan penguatkuasaan ekosistem agromakanan termasuk di dalam industri padi dan beras,"katanya.

Jelas beliau, secara umumnya, bantuan subsidi input yang diberikan kepada pesawah di negara ini adalah yang terbesar berbanding negara ASEAN yang lain.

Katanya, untuk menjamin keterjaminan dan kecukupan makanan ruji negara, hala tuju pembangunan industri padi dengan pendekatan yang lebih strategik sedang dirangka.

"Ini termasuk peningkatan kecekapan infrastruktur sistem pengairan dan saliran serta kemudahan ladang dan pengurusan subsidi dan insentif bersasar iaitu melalui cadangan mekanisme baharu perolehan input pertanian (baja) dan mekanisme baharu Program Insentif Benih Padi Sah (IBPS)," katanya.