PARLIMEN l Tuduhan bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalami kerugian daripada penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) adalah tidak berasas, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
MOF menjelaskan tawaran sukarela oleh konsortium yang dianggotai KWSP untuk mengambil alih semua saham MAHB yang belum dimiliki pada harga RM11 setiap saham merupakan pelaburan baharu jangka masa panjang KWSP.
“Pelaburan ini bertujuan memastikan pulangan jangka panjang dengan mengambil kira sifat stabil aset infrastruktur yang mampu menjana aliran tunai secara konsisten serta potensi pertumbuhan berterusan dalam jumlah penumpang seperti yang dijangkakan.
“Strategi ini adalah selari dengan objektif KWSP sebagai pelabur institusi yang mengutamakan pulangan mampan untuk kepentingan ahli,” tambah MOF dalam jawapan bertulis yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
MOF berkata demikian bagi menjawab soalan Dewan Rakyat oleh Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai sebab penjualan pegangan saham MAHB oleh KWSP pada harga RM5.40-RM7.36 seunit pada 2023 dan kemudian membeli semula pada harga RM11.00 seunit.
Ahli Parlimen itu juga meminta MOF menyatakan jumlah kerugian keseluruhan yang ditanggung oleh dana persaraan rakyat akibat transaksi itu.
MOF menjelaskan semua aktiviti penjualan telah dilaksanakan dengan kelulusan jawatankuasa dalaman dan mematuhi rangka kerja yang termaktub di dalam KWSP.
“KWSP telah mencatatkan pendapatan positif daripada aktiviti dagangan aktif serta pengumpulan dividen sepanjang pelaburannya dalam saham MAHB sejak 1999.
“Secara keseluruhan, sejak 2014, jumlah pendapatan daripada saham MAHB telah mencapai nilai lebih daripada RM500 juta,” jelasnya.
MOF memaklumkan penjualan saham MAHB oleh pengurus dana saham tersenarai KWSP (Jabatan Ekuiti-ekuiti awam, dan juga Pengurus Dana Luar) pada 2023 di Bursa Kuala Lumpur (BSKL) adalah sebahagian daripada strategi dagangan aktif KWSP untuk memanfaatkan pergerakan harga saham dan menjana pendapatan pelaburan jangka pendek.
Saham MAHB telah dijual pada harga antara RM5.40 hingga RM7.36 seunit, menghasilkan pendapatan berjumlah RM100.7 juta untuk sebahagian agihan dividen KWSP bagi tahun kewangan 2023, tambah MOF.
Prestasi saham MAHB yang mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 11.47 peratus turut menjadi faktor utama strategi ini, jelasnya.
Mengenai persoalan harga RM11.00 bagi seunit saham, MOF menjelaskan perlu diambil maklum bahawa terdapat perbezaan antara perdagangan saham MAHB dalam pasaran dan pelaksanaan tawaran sukarela ke atas MAHB.
“Perdagangan saham, termasuk saham MAHB, diuruskan oleh pengurus dana saham tersenarai KWSP serta pengurus dana luar, dan melibatkan pembelian dan penjualan saham pada harga pasaran yang berubah-ubah berdasarkan penawaran dan permintaan di Bursa Malaysia,” menurut MOF.
Kementerian itu menambah, sebaliknya, tawaran sukarela oleh konsortium yang dianggotai KWSP, adalah dinilai dan dibuat oleh pasukan yang berbeza sepenuhnya oleh pasukan pelaburan strategik.
MOF memaklumkan bahawa mandat kedua-dua pihak ini adalah berbeza, dengan objektif utama pengurus dana saham tersenarai KWSP adalah menjana keuntungan bagi memastikan pembayaran dividen dapat diagihkan kepada ahli KWSP.
“Keputusan pelaburan yang dibuat oleh pasukan pelaburan strategik pula mengambil kira aspek nilai ‘value creation’ dan objektif strategik, serta pelaksanaan pelan penambahbaikan yang selaras dengan rancangan strategik jangka masa panjang untuk memastikan pulangan yang lebih besar dapat dihasilkan demi kepentingan ahli KWSP,” jelas MOF.
- Bernama