KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil lapan individu bagi membantu siasatan terhadap empat bekas pegawai kanan Perdana Menteri ke-9.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, individu terbabit akan dipanggil dalam tempoh terdekat, seawal minggu ini.
“Kita akan memanggil lapan saksi dalam minggu ini dan minggu hadapan,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti individu berkenaan.
Azam turut memaklumkan bahawa Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) sedang meneliti dokumen yang dirampas dalam siasatan kes ini.
“Dokumen berkaitan sedang diperiksa dan siasatan dijalankan bukan sahaja di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, tetapi juga mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.
Ditanya sama ada bekas Perdana Menteri ke-9 akan dipanggil, Azam menegaskan SPRM akan memanggil mana-mana individu yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan.
“Siasatan masih berjalan dan saya tidak dapat memastikan bila ia akan selesai,” katanya.
Sabtu lalu, media melaporkan SPRM menahan empat bekas pegawai yang mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerana disyaki terbabit dalam rasuah.
Menurut sumber SPRM, perintah reman terhadap empat individu itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha di Mahkamah Putrajaya pada Jumaat lalu.
Tiga daripada mereka, termasuk seorang bergelar Datuk, dibebaskan selepas tamat tempoh tahanan reman tiga hari kelmarin, manakala seorang lagi dibebaskan pada Ahad lalu.