Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Keterangan saksi berbeza dari rakaman percakapan Ibu Zayn Rayyan


PETALING JAYA: Saksi pendakwaan ke-16 memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, dia tidak melihat ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memegang barangan lain ketika terserempak dengan wanita itu di tangga Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai, pada hari kanak-kanak autistik itu hilang, 5 Disember 2023.

Jiran, Rashidah Rajali, 37, berkata, Ismanira Abdul Manaf hanya menggalas beg sekolah ketika berselisih dengannya pada 12.15 tengah hari di bahagian bawah Blok R, ketika turun dari tingkat satu untuk menjemput dua anaknya pulang dari sekolah pada 5 Disember.

Keterangan itu berbeza dengan keterangan seorang pegawai polis pada hari ketiga perbicaraan di mahkamah sama pada 5 Februari lalu ketika merakam percakapan Ismanira yang membuat laporan polis berkaitan kehilangan anaknya.

Saksi pendakwaan keempat, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, 33, berkata Ismanira dalam rakaman percakapannya menyatakan pada hari kejadian anaknya hilang, dia memegang barang yang baru dibeli di tangan kanan dan kiri ketika menaiki tangga untuk pulang ke rumah.

Bekas pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya itu berkata, Ismanira memberitahu arwah Zayn Rayyan yang ketika itu berjalan di belakangnya tiba-tiba hilang.

Apabila tidak mendengar bunyi tapak kaki, wanita itu meninggalkan barang di tangga, menoleh ke belakang, dan mendapati anaknya sudah tiada.

Rashidah berkata, sekembalinya dari sekolah pada 12.35 tengah hari untuk menjemput dua anak lain pulang, dia melihat Ismanira turun semula dan terserempak di bahagian bawah blok berkenaan.

Menjawab soalan ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin, suri rumah itu berkata Ismanira tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika berselisih dengannya buat kali kedua pada 12.35 tengah hari.

Raja Zaizul: Tahu ke rumah ibu Zayn Rayyan di mana?

Rashidah: Masa hari kejadian saya tak tahu. Saya tak tahu rumah dia. Selepas itu saya tahu, tingkat saya tahu, tingkat dua.

Raja Zaizul: Macam mana tahu tingkat dua?

Rashidah: Sebab setiap minggu, dua tiga kali saya pernah berselisih dengan dia masa nak pergi sekolah.

Raja Zaizul: Selalu selisih jam berapa?

Rashidah: 7.30 pagi hingga 7.45 pagi.

Raja Zaizul: Ibu Zayn dengan siapa?

Rashidah: Dia selalu dengan Zayn.

Raja Zaizul: Ada tengok muka dia? Bercakap dengan dia?

Rashidah: Ada tengok, tapi tak bercakap dengan dia.

Raja Zaizul: Bagaimana reaksi dia ketika itu?

Rashidah: Tiada apa-apa reaksi.

Sebelum itu, dua saksi kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun memberi keterangan pada prosiding perbicaraan yang dijalankan secara tertutup.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1, Damansara Damai, di sini, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember, dan jam 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung Rabu.