KANGAR: Kilang padi bumiputera terbesar di negeri ini yang beroperasi sejak 57 tahun lalu bakal gulung tikar selepas tidak mampu lagi menanggung kerugian jutaan ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kilang Dibuk Sdn. Bhd. yang sebelum ini memberi kemudahan kepada lebih 10,000 petani di negeri ini bagi menjual hasil tuaian mereka sudah tidak mampu lagi bertahan berikutan tekanan lonjakan harga belian padi yang tinggi di sebalik harga beras masih rendah.
Malah, dalam tempoh dua tahun, kilang padi berkenaan diusahakan Marzukhi Othman yang cukup terkenal di Perlis itu sudah mengalami kerugian lebih RM10 juta membabitkan kesemua tiga kilang miliknya.
Dua daripada tiga kilang itu sudah menutup operasi dengan satu lagi bakal ‘bungkus’.
Kesemua kilang Dibuk Sdn. Bhd. tersebut mampu memproses sehingga 30,000 tan metrik semusim dengan membabitkan 78 pekerja.
Marzukhi yang juga Pengarah Urusan Dibuk Sdn. Bhd. berkata, pihaknya sudah tidak mampu lagi bertahan dengan tekanan lonjakan harga belian padi daripada petani yang satu ketika pernah mencecah hampir RM2,000 per tan metrik.
Katanya, lonjakan harga belian padi itu berikutan daripada persaingan oleh pengilang-pengilang besar bukan bumiputera yang turut menguasai pasaran beras borong bagi mendapatkan bekalan padi.
“Pengilang yang mempunyai rangkaian pengedaran beras berkenaan kebiasaan mencampurkan beras tempatan yang dibeli dengan harga kawalan dengan beras import dan kemudian dijual sebagai beras import dengan harga yang tidak dikawal seterusnya mengaut keuntungan berlipat ganda.
“Dengan keuntungan yang besar daripada manipulasi beras tempatan dijadikan beras import ini, mereka gunakannya untuk menaikkan harga padi di lapangan dan secara langsung membunuh pengilang seperti kami yang tidak mahu menipu pengguna dengan menjual beras tempatan sebagai beras import.
“Dengan kos harga padi yang tinggi, kos elektrik, diesel, ‘rubber roller’, ‘jumbo beg’ dan gaji serta alat ganti yang saban tahun meningkat menyebabkan kami tidak mampu lagi untuk melunaskan hutang bank,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, pengilang-pengilang padi mendakwa sudah tidak mampu lagi menanggung kerugian mencecah sehingga RM900 juta setahun ekoran harga belian padi tinggi disebalik harga beras pula masih rendah.
Beras tempatan masih kekal pada harga RM26 bagi 10 kilogram yang tidak pernah disemak sejak 16 tahun lalu iaitu harga belian padi sekitar RM950 per tan metrik ketika itu.
Tambah Marzukhi yang juga Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, daripada 127 kilang bumiputera yang aktif sejak 1998 namun kini hanya tinggal sembilan masih bertahan dan menunggu masa gulung tikar.
Katanya, kilang-kilang bumiputera yang tinggal itu hanya menunggu masa ‘bungkus’ sekiranya tiada langkah diambil dalam menangani dasar yang sudah tidak relevan iaitu kawalan harga beras putih tempatan, manakala beras putih import tidak dikawal harga siling.
“Pihak berkuasa dalam industri padi juga diminta untuk tidak lagi mengeluarkan dan membenarkan pusat pusat belian padi berlesen di dalam lingkungan 20 kilometer dengan kilang.
“Pelesen-pelesen ini lah merupakan orang tengah yang ditaja oleh kilang besar dalam membolot padi walaupun di luar kawasan mereka disamping menaikan kos untuk mengeluarkan beras,” katanya.
– UTUSAN