PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi mandat kepada peguamnya untuk mengemukakan pengampunan penuh kepada Yang di-Pertuan Agong.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut merupakan usaha terakhir yang sedang dilakukan untuk bekas Presiden UMNO tersebut.
Katanya, beliau tidak pernah lari daripada membantu Najib, malah sentiasa menjalinkan hubungan baik dengan keluarga Najib termasuk isteri, anak-anak dan adik beradiknya.
“Kita melakukan di peringkat perundangan sampai ke peringkat akhir iaitu ‘judicial review’. Kini Lembaga Pengampunan di bawah Yang di-Pertuan Agong.
“Inilah usaha terakhir sedang kami lakukan dan sebagaimana kenyataan saya keluarkan, kita melakukan satu tindakan supaya peguam Datuk Seri Najib memohon pengampunan penuh kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Datuk Seri Najib memberi mandat ini kepada peguamnya untuk memohon kepada Yang di-Pertuan Agong. Sinar di hujung terowong itu ada, tapi bila akan datang? Kita mohon perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sesi podcast hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, beliau pernah menjadi setiausaha politik Najib pada tahun 1987 dan Timbalan Perdana Menteri kepada bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut.
Justeru, katanya, tidak dapat diterima akal bahawa beliau akan meninggalkan Najib yang pernah berbudi kepadanya.
“Beliau bukan saja bos saya, tetapi sahabat saya dan adik beradik walau bukan sedarah sedaging.
“Setiap kali Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO perkara ini (berkenaan Najib) dibawa,” katanya. – KOSMO! ONLINE