Dengan pemilihan DAP yang bakal berlangsung pada Mac, kedudukan Lim Guan Eng semakin terancam selepas satu majlis makan malam Tahun Baru Cina antara dua pemimpin utama parti, Anthony Loke dan Nga Kor Ming.
Pertemuan itu bukan sahaja mengukuhkan pakatan antara kem Loke-Nga, tetapi juga dilihat sebagai tekanan kepada Guan Eng agar berundur daripada jawatan pengerusi kebangsaan DAP.
Menurut sumber dalaman DAP, jika Guan Eng tidak berundur secara sukarela dia dikatakan berisiko gagal mendapat tempat dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) selepas pemilihan nanti.
Difahamkan sekiranya Guan Eng bersetuju untuk tidak mempertahankan jawatan pengerusi, kem Loke-Nga mungkin masih menyenaraikannya dalam "cai" (senarai cadangan pengundian) bagi memastikan dia kekal dalam CEC.
Namun, jika Guan Eng berkeras untuk bertanding, dia bakal menghadapi cabaran sukar, dengan kekalahan pada pusingan pertama pemilihan CEC boleh menjadi tamparan hebat kepada bekas setiausaha agung itu.
Menghadapi tekanan ini, Guan Eng giat menghadiri pelbagai program bagi meraih sokongan perwakilan parti. Seorang pemimpin dalaman DAP malah menyifatkan dia kini “individu paling rajin di Malaysia.”
Namun, berdasarkan pemilihan DAP Pulau Pinang pada September lalu, pengaruh Guan Eng di negeri itu sudah merosot ketara, dengan anggaran sokongan hanya sekitar 30 ke40 peratus.
Di Selangor, yang memiliki jumlah cawangan DAP yang banyak, sokongan terhadapnya mungkin masih pada tahap sama, tetapi tidak mencukupi untuk mengubah arus pemilihan.
Menyedari situasi genting ini, keluarga Lim kini berusaha mendapatkan sokongan veteran DAP seperti Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun bagi menstabilkan kedudukan Guan Eng.
Guan Eng anak kepada Lim Kit Siang, tokoh veteran yang memimpin DAP selama beberapa dekad manakala adiknya, Hui Ying pula setiausaha DAP Pulau Pinang dan timbalan menteri kewangan.
Bagaimanapun, menurut sumber, Tan (68) dan Fong (79) tidak begitu berminat untuk bertanding semula. Malah, selepas bertemu dengan keluarga Lim, beberapa pemimpin kanan lain turut memujuk mereka agar tidak bertanding. Ini menunjukkan pertarungan dalaman dalam DAP semakin sengit.
Pada pemilihan parti 2022, Fong dan Tan masing-masing meraih undi keenam dan kesebelas tertinggi. Jika mereka bertanding semula, pengaruh mereka mungkin mampu membantu Guan Eng mempertahankan jawatannya sebagai pengerusi.
Pemilihan CEC DAP menggunakan proses dua peringkat, dengan perwakilan terlebih dahulu memilih 30 ahli CEC. Kemudian jawatan utama dalam parti, termasuk setiausaha agung, ditentukan secara dalaman oleh CEC yang dipilih.
Pada pemilihan 2022, Loke dan Nga mencapai persetujuan hanya beberapa hari sebelum pengundian. Selepas rundingan dalaman, Kit Siang mengejutkan ramai dengan mengumumkan persaraannya semasa kongres parti pada 20 Mac 2022.
Langkah ini membuka jalan kepada Loke untuk menjadi setiausaha agung yang berkuasa manakala Nga dilantik sebagai ketua whip parlimen DAP, menjadikannya individu kedua paling berpengaruh dalam parti.
Walaupun Guan Eng dilantik sebagai pengerusi, gabungan Loke-Nga secara perlahan-lahan menghakis pengaruhnya.
Pada pemilihan 2022, gambar ikonik Loke dan Nga bersama hanya dimuat naik empat hari sebelum pemilihan, menunjukkan rundingan berlarutan hingga saat akhir.
Namun kali ini, dengan sebulan lagi sebelum pemilihan, Nga sudah pun berkongsi gambar pertemuan mereka, mencerminkan kerjasama selama tiga tahun ini semakin kukuh.
Kempen halus guna media parti?
Walaupun Loke cuba merendah diri dan tidak mengeluarkan kenyataan terbuka mengenai pemilihan, pemerhati politik percaya dia telah membuat persiapan rapi dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk bertindak.
Sebaliknya, media rasmi DAP, The Rocket, secara aktif mempromosikan pertemuan Loke-Nga semasa sambutan Tahun Baru Cina malah mengutip kenyataan Nga di Facebook mengenai "era baru."
Langkah ini dilihat sebagai usaha membina momentum bagi pakatan mereka, dengan beberapa pemimpin utama DAP seperti Teo Nie Ching, Kelvin Yii, Jenny Choy, Kerk Chee Yee dan Angeline Koo turut meninggalkan komen menyokong dengan tanda pagar #StrongerTogether.
Strategi ini dilihat sebagai tekanan tidak langsung kepada Guan Eng bagi memaksanya berundur tanpa perlu bertembung secara langsung dalam pemilihan.
Namun, ada juga pemerhati dalaman yang memberi amaran jika pihak yang berkuasa dalam parti bertindak terlalu agresif atau menggunakan jentera parti untuk menyekat kem Guan Eng, langkah ini boleh memakan diri.
Mereka merujuk kesilapan kem Guan Eng dalam pemilihan DAP Pulau Pinang, dengan serangan keras terhadap Ketua Menteri Chow Kon Yeow akhirnya menyebabkan mereka kehilangan penguasaan dalam negeri itu.
Dengan hanya sebulan lagi sebelum pemilihan parti pada 16 Mac, calon yang ingin bertanding mempunyai sehingga 21 Februari untuk mengesahkan pencalonan mereka.
Senarai penuh calon dijangka diumumkan pada akhir Februari atau awal Mac, yang akan menjelaskan lagi dinamika pertarungan dalam DAP.
Disunting dari: Malaysiakini