SEREMBAN: Seorang maut, manakala lapan lagi Orang Asli dari Kampung Chergun dan Guntur Kuala Pilah mengalami jangkitan akibat wabak kusta yang menular di penempatan mereka.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata mangsa yang meninggal dunia pada 17 Februari lalu adalah seorang remaja berusia 18 tahun dari Kampung Orang Asli (KOA) Chergun,
Katanya, sebelum itu mangsa mengalami demam selama seminggu.
"Saringan dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan seramai sembilan penduduk KOA menghidap penyakit kusta.
"Mereka membabitkan lima orang dari Kampung Chergun dan empat dari KOA Guntur, Kuala Pilah.
"Pejabat Kemajuan Orang Asli Daerah (PKOAD) kemudian menerima senarai nama pesakit dan satu perbincangan telah diadakan.
"Bagaimanapun, pada 17 Februari lalu, seorang daripada pesakit terbabit meninggal dunia," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Mingguan EXCO di sini, hari ini.
Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah telah mengesahkan bilangan pesakit di kedua-dua kampung berkenaan dan saringan secara agresif dijalankan KKM.
"Walau bagaimanapun hanya 65 peratus penduduk menjalani saringan berkenaan. Saringan seterusnya akan dibuat Sabtu ini," katanya.