SHAH ALAM - Seorang penjenayah kes tembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam di sini, mati ditembak selepas berbalas tembakan dengan polis pada Selasa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ Selangor di sebuah hotel di Pulau Ketam, Klang, kira-kira jam 3 pagi.
Menurutnya, ketika serbuan, berlaku insiden tembak menembak antara polis dan penjenayah terbabit di bilik hotel berkenaan.
"Suspek berusia lingkungan 30-an mati ditembak dalam insiden itu.
"Polis juga menemui dua pucuk senjata api berisi peluru pada suspek," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, suspek juga dipercayai terlibat dalam insiden melepaskan tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam.
Dalam insiden pada 8 Februari itu, Balai Polis Seksyen 6 menerima maklumat kejadian pada jam 10.50 malam.
Suspek warga tempatan telah melepaskan empat das tembakan terhadap seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci di pusat beli-belah itu semasa berada di aras P1.
Mangsa yang cedera di punggung dan kaki telah menyelamatkan diri masuk ke dalam pusat beli-belah berkenaan manakala suspek melarikan diri ke tingkat P2.
Suspek kemudian menahan sebuah Perodua Ativa dan mengacukan pistol sebelum mengarahkan untuk membawanya keluar dan turun di tepi lebuh raya lalu menghilangkan diri.
-Sinar