KUALA TERENGGANU - Terengganu bakal menjadi lokasi bagi membina pesawat, sekali gus dapat memacu ekonomi serta membuka ruang melahirkan lebih ramai kepakaran dalam bidang aeroangkasa.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya telah menerima kunjungan delegasi Putra Aerospace Industries (PAI) diketuai Tuan Hassanuddin Tuan Kob untuk berbincang mengenai perancangan tersebut.
"Berbesar hati menerima kunjungan daripada delegasi PAI diketuai Tuan Hassanuddin Tuan Kob yang datang bagi menyampaikan hasrat mereka untuk membina pesawat di Terengganu.
"Kita telah kenal pasti lokasi strategik untuk projek fasa pertama ini iaitu dalam kawasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud seluas lebih 50 ekar (20.2 hektar).
"Manakala cadangan bagi fasa kedua dan seterusnya juga telah dikenal pasti di kawasan sama," katanya menerusi satu kenyataan di hantaran Facebook rasminya pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, PAI bukan hanya mampu membuat alat ganti pesawat bahkan memiliki lesen membina pesawat baharu.
"Semoga kerjasama antara kerajaan negeri dan PAI dapat meningkatkan ekonomi dan membuka ruang melahirkan lebih ramai kepakaran dalam bidang aeroangkasa serta bermanfaat buat rakyat secara menyeluruh," jelasnya.