Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

5,000 perantau anak Pahang terima baucar petrol


KUALA LUMPUR, 24 MAC 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memberi sumbangan baucar petrol kepada 5,000 penerima yang merupakan perantau anak Pahang sebanyak RM50 seorang.

Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, program yang masuk tahun kedua penganjuran bertujuan menjadi platform untuk memaklumkan perkembangan semasa di Pahang kepada anak perantau.


“Dan ini satu platform yang sangat baik terutamanya bagi Kerajaan Negeri Pahang kerana kita dapat memberitahu secara terus kepada anak-anak Pahang berhubung dengan perkembangan semasa di Negeri Pahang.

“Dan alhamdulillah nampaknya mereka dapat memahami dengan jelas apa yang telah Kerajaan Negeri buat kerana mungkin ada di kalangan mereka anak-anak Pahang yang berada di luar Pahang ini kadang-kadang ada terkeliru dengan maklumat-maklumat yang mereka terima daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Jadi hari ini saya dapat menjelaskan bagi pihak Kerajaan Negeri apa yang telah Kerajaan Negeri buat untuk rakyat Negeri Pahang, untuk anak-anak Negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Baucar Moh Balik Raya Ke Pahang 2025 di Stadium Titiwangsa.

Turut hadir, YB. Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Hajah Sabariah Saidan; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; dan Pengarah Seketeriat Mahasiswa Pahang, YH. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Dr Ramli Dato’ Mohd Nor; dan Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Tuan Lee Chin Chen.

Beliau turut menyeru anak Pahang yang berada di perantauan untuk menjaga nama baik dan seiring dengan Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan kemakmuran negeri ini.

“Jadi saya menyeru kepada anak-anak Pahang yang berada di perantauan, kita kena jaga negeri kita, kita kena sama-sama memakmurkan Negeri Pahang.

“Saya menyeru mereka supaya balik ke kampung terutama kepada yang masih ada lagi ibu bapa dan berhati-hati di jalan raya ketika pulang beraya nanti,” katanya.

Seramai 1,000 penerima terdiri daripada pemohon dalam kalangan perantau di Lembah Klang telah menerima baucar petrol manakala bakinya sebanyak 4,000 penerima daripada luar kawasan Lembah Klang akan menerima baucar secara terus yang akan diserahkan oleh kepimpinan Negeri di kampung halaman masing-masing. -PAHANGMEDIA