KAJANG - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), anak bekas pengasas Al-Arqam dan 11 pemimpin tertinggi perniagaan itu gagal dalam permohonan untuk dilepaskan dengan jaminan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin.
Hakim, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar yang bersidang di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang memutuskan demikian selepas mendapati tertuduh lelaki itu tidak memenuhi syarat-syarat yang diperuntukkan bawah Seksyen 13 (2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Mereka ialah Nasiruddin Mohd Ali, 66, Mohammad Adib At-Tamimi Asa'ari, 33, Hasnan Abd Hamid, 54; Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Ketika membaca keputusan ringkas, Hakim Latifah berkata, 13 tertuduh selaku pemohon ini meminta untuk dilepaskan sementara sehingga perbicaraan kes tersebut selesai.
Menurutnya, tujuh pemohon melampirkan laporan sokongan dari segi perubatan iaitu Nasiruddin, Hasnan, Mokhtar, Shuhaimi, Mohd Fazil, Shukri dan Muhammad Zahid.
Sementara enam yang lain oleh Mohammad Adib, Mohd Dhirar, Mohamad Sayuti, Muhammad Afdaluddin, Muhammad Fajrul dan Abu Ubaidah membuat permohonan tanpa sokongan laporan perubatan.
Bagaimanapun, beliau berkata, semua pemohon gagal memenuhi syarat iaitu bukan seseorang kanak-kanak di bawah usia 18 tahun, tidak tergolong dalam kategori wajar diberi pengecualian atau menunjukkan mereka mempunyai penyakit kronik.
Katanya, berdasarkan affidavit jawapan daripada pihak pendakwaan selaku responden, doktor yang memeriksa semua pemohon di Klinik Kesihatan Penjara Sengai Buloh pada 28 Februari lalu, menunjukkan semua pemohon berada dalam keadaan baik dan stabil.
“Sebilangan pemohon memberitahu mempunyai penyakit antaranya kencing manis dan tekanan darah tinggi serta mengambil ubat-ubatan yang disediakan pihak perubatan.
“Semasa hadir membuat pemeriksaan kesihatan, pemohon mampu berjalan sendiri tanpa kecacatan, tidak menunjukkan tanda-tanda kesukaran bernafas dan boleh menjalani kehidupan harian dengan berdikari,” katanya.
Hakim ini berkata, pemohon juga gagal mengemukakan keterangan yang menunjukkan, mereka tidak dapat mengakses kepada perubatan dan ubat-ubatan yang diperlukan jika mereka kekal ditempatkan di penjara.
Menurutnya, kenyataan itu disokong oleh pegawai perubatan, yang menyatakan dengan jelas bahawa, kemudahan kesihatan dan ubat-ubatan di jel adalah mencukupi untuk merawat pemohon, sekiranya berlaku komplikasi.
Sementara itu, kesemua tertuduh wanita itu yang didakwa atas tuduhan sama, dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin.
Mereka ialah Azura Md Yusof, 58, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; dan Nur Jannah Omar, 33.
Hakim Latifah berkata, semua pemohon wanita ini tergolong dalam kategori yang wajar diberi pengecualian.
Menurutnya, tiada keterangan dalam affidavit sokongan responden, yang menunjukkan pemohon wanita ini mempunyai risiko untuk melarikan diri.
Ketika hujahan lalu, beliau berkata, responden memaklumkan pemohon itu berkemungkinan akan berhubung dan bertemu dengan saksi-saksi.
Katanya, perbuatan itu dikhuatiri akan mengganggu kes selain berpotensi untuk mempengaruhi kes.
"Bagaimanapun, pemohon-pemohon telah memberi aku janji untuk tidak berjumpa atau berhubung dengan saksi-saksi sekiranya jaminan diberikan.
“Mengambil kira alasan ini, mahkamah menggunakan kuasa budi bicara yang diperuntukkan dalam akta tersebut yang membenarkan jaminan kepada kesemua pemohon," katanya.
Sehubungan itu, mahkamah membenarkan setiap pemohon wanita diberi ikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin.
Katanya, ia termasuk syarat tambahan, melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap dua minggu dan perlu hadir ke mahkamah pada setiap tarikh tetapkan.
Menurutnya, mereka juga tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi sepanjang tempoh jaminan.
Katanya, jika pemohon sakit dan tidak dapat hadir ke mahkamah, penjamin perlu mengemukakan cuti sakit daripada hospital dan klinik kerajaan.
“Sekiranya gagal mematuhi mana-mana syarat jaminan itu, mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap, wang jaminan boleh dirampas atau dinaikkan dan dibatalkan serta boleh dipenjarakan sehingga kes selesai,” katanya.
Pada 23 Oktober 2024, Nasiruddin, Azura, Mohammad Adib, 33, dan 19 pemimpin tertinggi perniagaan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, masing-masing atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Tertuduh selaku pemohon merayu kepada mahkamah supaya dilepaskan dengan jaminan sehingga kes itu didengar dan diputuskan, namun pihak pendakwaan membantah permohonan tersebut.
Pada 13 Januari lalu, Hamimah yang juga akauntan GISBH menjadi tertuduh pertama yang dilepaskan dengan jaminan.
Pada 23 Disember tahun lalu, Mahkamah Sesyen Selayang membenarkan kes yang dihadapi semua tertuduh itu dipindahkan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam