Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Farhash tarik balik saman RM1 juta ke atas Isham Jalil


Bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini memutuskan untuk tidak meneruskan permohonan injunksi terhadap bekas ketua penerangan Umno Isham Jalil.

Plaintif Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pada mulanya memohon perintah sekatan untuk mengekalkan status quo dalam saman fitnah RM1 juta yang masih dibicarakan terhadap defendan.


Tindakan sivil itu adalah atas dakwaan kronisme membabitkan pelaburan yang kononnya bernilai hampir RM40 juta dalam sebuah syarikat yang disenarai pendek untuk kontrak kerajaan.

Keputusannya itu direkodkan di kamar hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Roz Mawar Rozain pagi ini, dengan saman sivil berkenaan ditetapkan untuk perbicaraan penuh pada Sept tahun depan.

Ketika ditemui media selepas prosiding di kamar, peguam yang mewakili kedua-dua Farhash dan Isham mengesahkan keputusan tersebut, sambil menambah bahawa penarikan balik permohonan berkenaan adalah kerana tiada keperluan mendesak dalam perkara berkenaan.

Peguam Aswath Ramakrishnan dan Chetan Jethwani, yang masing-masing mewakli pihak plaintif dan defendan, berkata mahkamah sivil juga menetapkan 23 April ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh mediatasi.

Farhash menyaman Isham berhubung video yang dimuat naik ke saluran TikTok pada 17 Mac tahun lalu, bertajuk “Kroni Anwar beli saham syarikat disenarai pendek kontrak imigresen RM1 bilion?”

Isham kemudiannya membuat laporan polis supaya siasatan dimulakan berhubung dakwaan itu.

Awal Mac tahun lalu, akhbar The Straits Times melaporkan bahawa Farhash menjadi pemegang saham substantial bagi syarikat penyedia perkhidmatan teknologi, HeiTech Padu, yang menguruskan sistem imigresen bernilai berbilion ringgit.

Laporan itu juga menyatakan bahawa Farhash dan rakan kongsinya memperoleh 4.97 peratus kepentingan dalam Theta Edge, pesaing HeiTech Padu.

Susulan laporan itu, Farhash menolak kebimbangan mengenai "kapitalisme kroni".

Selepas menyerahkan surat tuntutan terhadap Isham, Farhash memfailkan writ saman di mahkamah sivil terhadap defendan.

Menerusi saman fitnah itu, Farhash mendakwa hantaran di media sosial tersebut mengandungi dakwaan tidak benar dan berniat jahat.

Plaintif menuntut pelbagai relif, antaranya RM1 juta sebagai ganti rugi am dan perintah supaya defendan menarik balik hantaran dalam talian yang didakwa berunsur fitnah dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Kenyataan Isham Jalil:

Alhamdulillah saya baru menerima maklum bahawa susulan perbicaraan kes di hadapan hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini, bekas setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim iaitu Farhash Wafa Salvador telah menarik balik permohonan injunksi yang difailkan terhadap saya berkaitan pembelian saham Heitech Padu oleh syarikatnya pada tahun lepas.

Pada saya ini adalah suatu kemenangan waima kemenangan kecil di mahkamah dan selangkah lagi ke arah kebenaran.

Perjuangan harus diteruskan. Allah SWT akan bantu orang-orang yang sabar dan istiqamah.

Terima kasih peguam saya Tuan Chetan Jethwani dan Cik Ava.

Salam.